Saturday, August 13, 2011

~ 3 Golongan Yang Rugi

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Assalamu'alaikum wrt


Alhamdulillah 'ala kulli haalin, wastaghfirullah al-adzim 'ala kulli zanbin.. Bersyukur kita pada Allah SWT, hari ini kita masih lagi berada di fasa kedua di bulan Tarbiyah.. 13 Ramadhan 1432H. Ini bermakna, kita telah pun meninggalkan 12 hari Ramadhan.. Hanya tinggal 17 hari lagi kita berada di bulan yang mulia ini.. Pejam celik, tup-tup dah sampai penghujung Ramadhan. Justeru, sama-samalah kita pastikan agar Ramadhan yang berbaki ini dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.. InsyaAllah, semoga Allah SWT berikan kita kekuatan dan beri kemudahan untuk kita semua.

Alhamdulillah, di kesempatan ini ana ingin kongsikan satu hadist yang insyaAllah dapat kita jadikan iktibar untuk kita sama-sama muhasabah. Di sini, suka ana kongsikan bersama sahabat-sahabat yang disayangi Allah, di mana Rasulullah SAW bersabda :-

“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukan ke syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. HR. Ahmad



Daripada Qaul Rasulullah SAW di atas dapatlah kita simpulkan, terdapat 3 golongan manusia yang Rasulullah SAW kategorikan sebagai seorang yang rugi. Ruginya bukan di dunia sahaja, malah ruginya berterusan sehingga hari akhirat.. Ketika mana orang lain berlumba-lumba mengumpul 'dana pahala' di dunia, dirinya sambil lewa dengan kehidupan dunianya.. Maka terlepaslah peluang dan kesempatan yang Allah beri kepadanya.


Betapa tidaknya, peluang sudah ada di depan mata. Tetapi kerana ikutkan hati seronok dan teruja dengan nikmat kehidupan dunia, sekalipun nama junjungan Nabi Muhammad SAW didengarinya terasa berat lidah untuk menyebutnya.. Jika seseorang yang punya perniagaan, sudah pastilah orang sebegini sentiasa dalam kerugian. Perniagaannya tiada kemajuan malah mungkin boleh sampai kepada peringkat muflis dan berhutang. Peluang telah pun tersedia tetapi tidak mahu dijamah keuntungannya .


Begitu juga dengan seorang anak yang masih lagi mempunyai ibu dan ayah. Sungguh ibu dan ayah itu adalah aset untuk kita menambah pahala. Hatta dengan senyum kepada orang tua juga sudah diberi ganjaran pahala oleh Allah, apatah lagi jika mengikut segala perintahnya selagi mana tidak melanggar syariah. Pastilah ganjarannya lebih berlipat ganda. Dan inilah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan kedua yang rugi semasa hidupnya. Walaupun mempunya peluang untuk mendapat ganjaran pahala dengan berbakti kepada orang tua, tetapi orang tuanya dibiarkannya sia-sia. Dan ada yang sehingga sanggup meninggalkan mereka di rumah orang-orang tua.


Teringat dengan kata-kata Imam Muda Hassan sewaktu menonton rancangan Imam Muda beberapa bulan yang lalu.. Beliau mengingatkan pada semua anak-anak muda yang masih dikurniakan ibu ayah agar sentiasalah merasa syukur dengan kurniaan Allah SWT. Adanya ibu dan ayah bermakna Allah masih lagi memberi kita peluang untuk berbakti kepada mereka. Allah masih berikan kita kesempatan untuk menambah dan merebut ganjaran pahala dan kebaikan dengan menghormati dan menyayangi mereka. Hanya dengan redha keduanya, maka redha Allah juga akan kita perolehi. Dengan berbakti kepada mereka, Allah akan balas dengan ganjaran pahala yang berganda... Itu janjiNya.

"Ya Rahman.. jadikanlah diri ini permata ayah bonda. Jadikan diri ini penyejuk mata mereka.. Jadikan diri ini penghibur lara mereka.. Engkau kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sedari kecil hingga dewasa. Engkau redhailah mereka dan jadikan diri mereka redha padaku agar redhaMu jua sampai kepadaku"

Golongan yang ketiga daripada hadis di atas ialah golongan manusia yang apabila perginya Ramadhan, dosa-dosanya masih lagi tidak terampun. Asbab kerana hatinya masih lagi kurang persediaan dan kesediaan dalam menghadapi bulan Ramadhan. Dia hanya mengetahui bulan Ramadhan pada zahirnya sebagai bulan pengampunan tetapi sayang dia tidak dapat merasainya dengan hati yang penuh bersedia. Di mindanya hanya dapat memahami erti puasa dari segi istilah sahaja iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sedangkan tingkatan orang yang paling ahsan puasanya, bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah SWT semata-mata. Asbab hanya memahami hakikat Ramadhan dari kulit sahaja tidak pada isinya, maka jadilah dia seolah-olah perenang yang hanya berenang di tepian tetapi tidak sampai ke dasar lautan walaupun kelengkapan dan peralatan sudah disediakan.


Tingkatan puasa orang sebegini termasuk di dalam puasanya orang awam. Lantaran itu, ada di antaranya amal yang dilakukan juga ala-ala kadar sahaja. Hanya cukup dengan menahan diri dari makan & minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadahnya masih lagi seperti hari-hari sebelumnya.. Malah ada lagi yang lebih mengecewakan ibadahnya seiring dengan maksiatnya.. Alangkah ruginya golongan ini apabila peluang di depan mata sudah tersedia untuknya tetapi tidak mahu mengambilnya. baginya tidak ada bezanya Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Iyya'uzubillahi min zalik.


Tetapi apabila seseorang itu dapat menghayati hakikat Ramadhan yang sebenar, dia akan menggunakan dan mengambil sepenuhnya peluang dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan tersebut. Masa yang ada seakan begitu berharga. Tiap saatnya digunakan sebaiknya. Amalan wajib diperbaiki, amalan sunat digandakan lagi. Lidahnya sibuk dengan zikir kepada Ilahi.. Tangisnya di malam hari menemaninya setiap hari sehinggakan tiap waktunya adalah semata-mata memohon keredhaan dan keampunan Allah SWT.



"Ya Rahmanu Ya Rahim.. permudahkanlah langkah kami agar sentiasa ingin dekat denganMu. Berikanlah kami kekuatan dan kesihatan untuk sentiasa sujud kepadaMu.. Agar terdidik hati ini untuk sentiasa bersyukur dengan limpah RahmatMu. Jadikanlah jiwa ini sentiasa rindu dengan sentuhan kasih sayangMu. Jadikanlah lidah kami lembut dan tiada jemu menyebut namaMu malah rasa terhibur dengan membaca alunan kalamMu..

Ya Allahu Ya Kareem.. Istiqamahkanlah setiap apa yang telah kami persembahkan.. Engkau redhailah setiap apa kami lakukan.. Ampunilah segala dosa yang telah kami perbuatkan serta masukkanlah kami di kalangan mereka yang Engkau Rahmati dan Redhai.. Sungguh tiada daya kami melainkan Engkau yang Maha Pengampun jua Maha Pengasih.. "

InsyaAllah, sama-sama kita berdoa semoga usaha yang kecil dan amalan yang sedikit ini dapat mengubah diri. Biar kecil dan sedikit asalkan kita lakukan dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh. Berazam dan bertawakkallah kepada Allah SWT semoga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. Yakinlah, amalan yang disertai dengan kesungguhan semata-mata mengharapkan redhanya Allah SWT pastinya nanti akan sentiasa menjadi 'sahabat' kita. Setiap masa kita akan bersama-sama dengannya. Umpama seseorang yang sentiasa membaca Al-Quran sudah pastilah Al-Quran itu menjadi sahabatnya. Ada sahaja kesempatan dan masa terluang, Al-Quranlah yang dicapainya.. Hari-harinya sentiasa bersama Al-Quran..

Justeru, ana menyeru khususnya pada diri ana sendiri dan juga sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, sama-samalah kita gunakan peluang dan kesempatan ini dengan melipat gandakan lagi amal ibadah kita. Perbanyakkan dzikir setiap masa dan muhasabah diri sentiasa.. Tatkala larutnya diri dalam sendunya dzikir pada yang Esa, renungilah diri kita.. Tiada yang lebih sempurna melainkan zat yang Maha Sempurna. Dan tikamana bersatunya diri dalam dzikirullah, pasti... akan ada titisan jernih menyentuh pipi meraih beningnya hati.. Air mata itulah nantinya akan menjadi saksi.. Moga ianya juga yang akan membela mu di sana nanti. Negeri yang kekal abadi. wallahu 'alam~

"Ya Allah, ku rindukan hati yang selalu merinduiMU :'( "




Faqirah 'indallah
fatin_jamilah@yahoo.com
Pusat Latihan Dakwah Keningau
13 Ramadhan 1432H / 13 Ogos 2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...