Monday, March 30, 2009

~ CALON SOLEHAH

NuRul IsLam
Editor:PenaHalaqah


Usai berdoa seperti kelaziman, dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang.


Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu.


“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”


Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini, sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH.


“Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan. Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru,”


“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar.


“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah,” harap-harap inilah alasan yang agak kukuh. “Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz..alamat, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajat..”


“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…”sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.


Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.



“calon isteri yang solehah…orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betul,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topic tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.


“Raihanah ada sebarang pendapat?” soal tok ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.


“sekadar pendapat tok ayah…jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips,”riuh seketika.


“sebelum kita kaji dan telek bakal isteri kita paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” aku sedikit terkelu.


Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosong aku, tidak terluah. “nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh. Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.


“tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” ada qariah muda berani untuk mengutarakan soalan. “Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.”


Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum. “ teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,” “Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga?


“bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi. insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.” Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum. Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum. Ada hikmah di sebalik semua ini.


“hafiz, ada surat untuk anta daripada Malaysia…”kenyitan mata Syahid sewaktu menyerahkan surat bersampul ungu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan lamunannya. Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah.. calon pilihan Tok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian calon solehah.


Syukur Ya Allah.


Friday, March 27, 2009

Ya Rahman... Engkau Maha Pengasih..


Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: 'Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.' Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. 'Tidak'

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, ka! mu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.'

Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.'

Kemudian Jibrail as berkata: 'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?' Lalu Allah berfirman yang bermaksud. 'Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal...' Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT, maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: 'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? '

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah ku berikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... ..'

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Wednesday, March 25, 2009

Bicara sepi..

Gelora resah menjadi tamu
dalam sendu
Ku pujuk hati nan syahdu..
Dalam kalbu
ku bisik kalimah rindu
Kalam Ilahi zat yang SATU
Tenang damai mula berpadu
Terasa tenteram.. tenang di kalbu

Ya Allah...
PadaMu ku berserah..
Pimpinlah hariku biar terarah..
Agar langkahku dalam hidayah..

" Dan Dialah Allah yang disembah baik di langit mahupun di bumi. Dia Mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui pula apa yang kamu usahakan" ~Al-Maidah:5~

_______________________________________________________
@}-- No OnE Can TeLl For SurE WhaT 's gOinG tO hapPeN toMmoRoW ---{@

Saturday, March 21, 2009

Insan Soleh Solehah

Assalamualaikum wrt wbt.

Em... Zaman ini, zaman yang penuh dengan fitnah terhadap kita semua... maksiat dan kerosakan sangat berleluasa... wanita dan lelaki kelihatan sama sahaja, tiada jurang pembeza yang ketara lagi.


Pakaian? Em, kelihatan seakan-akan sama saja. Agama? Em, entah... macam mereka dah tak peduli je... ada masa ke nak fikir pasal agama ni?Em, kerana apa yer? Kerana lenyapnya peribadi soleh dan solehah agaknya...

Ku tinjau-tinjau,Tak kira jantina, ada saja di mana-mana. Bersesak-sesak di pasar? Yup, ada... ramai sangat... di pawagam? Yup, ramai juga... em, di tempat melepak dan restoran? Lagi ramai! Laki dan wanita, campur aje... Em, di pesta buku pulak? Em, alhamdulillah masih ramai (harap-harap tidak silap beli buku)... em, di masjid? ...sedih, tak ramai, sikit sangat. Di kuliah-kuliah ilmu? Macam dah tak minat jer nak datang...

Ya Allah,Sukarnya mencari wanita yang solehah...Manakala bagi wanita, sukarnya mencari lelaki yang soleh...Aii... iyeke?Kesiannya anda sekalian... yang lelaki susah nak cari yang solehah...Yang wanita pulak, susahnya nak mencari yang soleh!Hehe...

Teringat cabaran sahabat-sahabiyah yang baru grad yang duk tengah sibuk nak cari calon pasangan suami atau isteri... Ke mana sang soleh-solehah menghilang yer? Takkan pupus kot?

Takdelah... mana boleh pupus pulak...Takkan pupus punya,Hai sahabat, kalaulah anda yang jadi soleh, tak kan timbul lagi perkara ni... so, senanglah si solehah nak cari anda... so, persoalannya andalah yang kena mulakan... kena ada mahu... letakkan iltizam... Then, muslimat... macam mana dengan anda? Takkan nak suruh lelaki je yang mula dulu? Anda bagaimana? Bila nak mula? Tak adillah sebelah pihak jer...Ingat... anda kena mula juga...Anda perlu tahu, orang yang soleh akan mencari wanita yang solehah. Tak nak lah wanita yang diluar standard solehah! Lelaki soleh... tentu mahu pasangannya wanita solehah! Ha, barulah kena kan?

So, sebagai kesimpulan...Anda-anda semualah yang kena mulakan...So, jom berlumba-lumba jadi insan soleh-solehah... bukan kerana nak cari pasangan yer? Tapi, mestilah kerana Allah... then, insyaAllah, tenang jiwa anda... damai...

Bersama redha Ilahi pastinya... Insan soleh-solehah pun akan datang cari anda... Emm.. jangan berlumba-lumba jadi mat rempit pulak yer... maklumlah, mat rempit pun dah tukar profession... dah jadi penerjun di kutub utara tu!

Justeru, anda bila lagi? Jom lah jadi insan soleh-solehah... insan yang mulia di sisi Allah mahupun manusia...Ok?Em, wahai insan yang bernama wanita... sahabat yang bergelar lelaki... jangan buang masa...

Marilah kita check or semak semula, apa dia prinsip soleh-solehah tu yer?Ada ker dalam diri kita prinsip-prinsip tu? Ade ke personaliti soleh-solehah tu pada kita? Takkan sikit pun tak ada?Sedihnya kalau tak ada... rugilah anda nanti...Baik cepat-cepat setelkan! Jangan lambat...

Sebagai basic... mulakanlah dengan mengenali asas-asas Islam... iman mesti mau dijaga. Lakukanlah solat dengan sempurna - cukup lima waktu, tonjolkan imej-imej insan yang Islami...Di samping lakukan solat sempurna... tambahkanlah sedikit-demi-sedikit solat-solat sunat...

Then, belajar-belajarlah praktikkan personaliti (adab-adab) insan soleh-solehah.. Em, mulakanlah dengan memakai pakaian yang sopan, bertingkah-laku dengan baik dan jauhi perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Yang solehah, tinggalkanlah pakaian-pakaian sempit tu! Belajar-belajarlah pakai tudung. Cari baju yang labuh... Kasi tutup lebih rapat dan sempurna daripada biasa. Jangan beri orang tengok percuma lagi. Barulah nampak yang diri anda tu mahal dan bukan bahan lelongan free-show. Orang lelaki pasti rasa insaf dan tunduk malu bila tengok anda nanti..

Seterusnya... perlu difahami, bahawa... semua tu perlukan bimbingan ilmu yang jelas... Jadi, jangan lupa selalu-selalukanlah hadir ke majlis-majlis dan kuliah-kuliah ilmu... Amal tanpa ilmu, takut-takut tersesat pulak nanti... Niat di hati nak jadi baik, lain pulak jadinya nanti...

Untuk menjadi insan soleh-solehah... anda perlukan ilmu...Banyakkanlah membaca... di samping jangan lupa mendapatkan bimbingan... supaya tak tersalah ilmu pulak karang!Em... susah ke?

Senang je ni... basic semua ni...InsyaALLAH... anda mampu lakukan... ingat! Dimana ada kemahuan, di situ ada jalan.. Di mana ada jalan, di situ ada harapan. Anda perlu mulakan... jangan biarkan golongan yang tidak soleh-solehah bertambah di luar sana. Sesak nafas kan kita tengok!!!Bukan kesan baik yang terhasil... bukan sahaja manusia yang susah...Haiwan dan tumbuhan, malahan objek-objek tak bernyawa pun menerima akibatnya...Kalau perbuatan tu dah dilarang oleh agama, tak mungkinlah ia wajar lagi dipandang baik, dan mustahillah kesannya akan baik dan disenangi...

Ayuh... tanamkan azam, tambahkan ilmu, tingkatkan amalan, tunjukkan personaliti Islami... bergerak ke arah peribadi insan soleh-solehah...


إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

-Al-Hujuraat: 13


(dipetik dari syahid blogspot)

Thursday, March 19, 2009

~ Tangani Sifat Cemburu Buta

setanggi_syurga83
Editor : almusafirq8


Adakah anda pernah mengalami sekurang-kurangnya satu daripada senario di bawah ini?
1. Anda sekadar ada kereta Volkswagen model 60-an yang selalu meragam di waktu pagi dan jiran sebelah rumah anda pula ada kereta Honda Civic yang bunyi enjinnya menderum sedap? Anda jadi sangat cemburu sehingga mengharapkan kereta Honda Civic jiran anda itu ditarik oleh bank?.


2. Gaji anda cukup-cukup makan sahaja. Gaji rakan-rakan anda pula agak besar sehingga mereka mampu untuk makan angin di luar negara. Anda pula nak pergi makan angin di Pulau Carey pun rasa mahu terburai poket seluar. Cemburu punya pasal, anda berdoa agar kapal terbang yang dinaiki kawan anda itu terhempas, atau sekurang-kurangnya dirampas oleh pengganas.


3. Kawan-kawan anda sudah ramai yang kahwin, dan anda juga mahu berkahwin, malangnya atas sebab-sebab yang tertentu anda masih lagi belum boleh berkahwin. Anda jadi tersangat cemburu pada rakan-rakan anda yang sudah berkahwin sehingga kadang-kadang anda harap esok pagi juga mereka bercerai. Anda tambah sendiri senario..


Cemburu pertama dalam sejarah manusia cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu Iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah menyuruh Iblis sujud pada Nabi Adam, Iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih bagus dari Nabi Adam. Iblis cemburu kerana Allah memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam. Akibatnya, Iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka. Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan dua orang putera Nabi Adam. Qabil tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Ini kemudiannya membawa kepada adegan-adegan dramatik yang mencemaskan. Klimaks kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini.

Petua-petua mengatasi sifat cemburu:
1) Daripada dua kisah cemburu yang membabitkan Iblis dan Qabil itu, kita dapati bahawa sifat cemburu tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada kita. Cemburu hanya memusnahkan diri sendiri. Tiada pengakhiran yang baik dan menggembirakan dalam hati manusia yang sering cemburu. Oleh itu sebelum anda mahu cemburu, cuba renung kembali kisah Iblis dan Qabil.

2) Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada dua jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah sallahu alayhi wasalam dari kitab Sahih Muslim ini:.

"Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia".



3) Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan. Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak redha pada takdir dan ketetapan Allah. Jika kita sendiri tidak redha pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah? Dan jika Allah tidak redha pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi? Imam Maulud, seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.


4) Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih bagus dan lebih mulia dari orang lain; holier than thou. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa yang orang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, disamping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah.


5) Dalam tiga senario di atas, saya ada sentuh tentang bab kahwin. Saya jadikan isu kahwin ini agak spesifik memandangkan saya kenal dan tahu beberapa orang kawan saya, dan kebanyakkan adalah perempuan yang mengeluh kerana masih lagi belum bertemu jodoh. Mereka agak depress. Berkahwin itu memanglah topik yang seronok. Siapa tidak suka kahwin. Tetapi menjadikan perkahwinan sebagai alasan untuk memberikan kebahagian hidup agak kurang tepat. Pasangan berkahwin yang kelihatan gembira mungkin kerana sejak zaman bujang lagi mereka sudah memiliki gaya hidup yang ceria. Tapi apa akan jadi jika Lelaki A yang pesimis berkahwin dengan Wanita B yang bersifat sangat cemburu buta. Anda fikir dengan perkahwinan itu, Lelaki A dan Wanita B itu akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan hidup?


Perkahwinan hanya satu keindahan yang sementara jika ia tidak disulami dengan tanggungjawab, perkahwinan adalah satu bala. Terangkan kepada saya mengapa Britney Spears bercerai dengan suami pertamanya, iaitu Jason Allen Alexander setelah mereka sah menjadi suami isteri selama 55 jam sahaja? Saya juga ada seorang rakan (Melayu) yang menceritakan kisah sedih rakannya (Melayu) yang diceraikan suaminya setelah setahun berumahtangga. Mengapa ini berlaku? Tiada kebahagiaan!




Maka, perkahwinan bukan tiket mutlak kebahagiaan hidup. Ketahuilah bahawa sebahagian dari kegembiraan itu terletak pada redha Allah ke atas manusia dan sebahagian lagi terletak pada cara seseorang itu berfikir. Kepada yang masih belum berkahwin, bawa-bawa bersabar. Bak kata senior saya, let’s chill and relax… Akan tetapi, perkahwinan juga sangat penting dalam kehidupan manusia. Saya ingin membantu, tetapi saya tidak boleh bagi kaunseling lebih-lebih kerana masih lagi belum berkahwin. Mungkin boleh baca artikel ini: What should I do to get married? Jangan cemburu kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu menamatkan zaman bujang dan anak dara. Bila sampai masa yang ditetapkan Allah, anda pasti akan mendapatnya. Ini konsep tawakal dalam Islam. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Cuba aplikasikan konsep Taburan Normal dalam ilmu statistik untuk lebih memahami masalah ini.


6) Apa yang mereka ada tidak semestinya diberkati Allah. Kadang-kadang rezeki yang Allah beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata. Rasullulah bersabda:

"Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah". (Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi).

Istidraj adalah nikmat yang Allah berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari. Jiran anda di sebelah rumah yang selalu pergi clubbing dan tuang arak dalam perut, tetapi kereta mewah ada 2-3 buah, menjawat pula jawatan CEO di sebuah syarikat besar, maka ketahuilah bahawa rezeki yang mereka terima itu berkemungkinan besar adalah istidraj. Oleh itu, jika anda patuh dan taat pada segala perintah Allah, melakukan solat tahajjud setiap malam, tetapi rezeki masih lagi dalam keadaan terumbang-ambing, maka janganlah terlalu risau. Rezeki sikit atau banyak adalah ujian dari Allah. Jangan sangka dengan duit berkepok-kepok di bawah bantal akan membuatkan kita gembira. Kita gembira kerana Allah yang berikan kita kegembiraan. Jika anda ada buku Ayah Kaya, Ayah Miskin, cuba selak semula bahagian awal buku itu, yang mana Robert Kiyosaki ada menceritakan kisah beberapa orang ternama yang kaya-raya waktu itu, akhirnya menerima kesudahan hidup yang menyedihkan setelah berlakunya peristiwa Great Depression. Lihat, semudah itu sahaja Allah mahu tarik kekayaan seseorang.

7) Akhir sekali, cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi selalu sangat kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita ada. Jika anda menyimpan makanan dalam peti sejuk, dan menyimpan baju di dalam almari, dan ada katil sebagai tempat tidur, dan memiliki sebuah rumah. Maka anda sudah jadi lebih kaya dari 75% penduduk bumi yang lain! Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Jangan apabila ia sudah pergi baru kita mahu bersyukur dan menangis kerana manusia selalunya begitu. Hargailah sekecil-kecil nikmat Allah.Semoga hidup kita sentiasa dilimpahi keberkatan.Insya Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...