Sunday, August 7, 2011

~ Haidh Dan Puasa


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Assalamu'alaikumwrt wbt (◕‿◕✿)

Alhamdulillah 'ala kulli hal... Allah masih berikan nikmat sihat.. dan masa yang lapang. Apa yang pasti, syukur dan tahmid atas nikmat Iman dan Islam yang Allah berikan kepada kita. Alhamdulillah....
Bersempena dengan bulan mulia ini, pastinya ada di kalangan kaum muslimah yang musykil tentang beberapa perkara. Khususnya yang berkaitan dengan hal-hal berkaitan masalah wanita. Justeru, InsyaAllah, di kesempatan ini, ana ingin kongsikan satu tajuk dari fasal ke-9 dari buku "Feqh Wanita Moden" sebuah karya penyuci jiwa penyempurna ibadah. Buku soal jawab ini telah dikarang oleh Ustaz Mohd Khairi Bin Zainuddin dan saudaranya Ustaz Mohd Nazri Bin Zainuddin bersama usrah thaqafi yang lain terdiri daripada Ustaz Abdul Hadi bin Mohd Isa dan Ustaz Mohd Fuad Bin Mohd. Isa..
Semoga perkongsian dari buku ini dapat memberi manfaat kepada seluruh kaum muslimah, insyaAllah.. Selamat menelaah.. ^^,)

FASAL 9 : HAID & PUASA

Apakah hukum perempuan haidh berpuasa?

Haram kepada kaum perempuan yang berhaid berpuasa sama ada puasa fardhu atau pun sunat dan puasanya tidak sah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :-

"Bukankah ketika dia kedatangan haidh, dia tidak sembahyang dan berpuasa"
-Riwayat Bukhari dan Muslim


Ijma' Ulama menetapkan bahawa haram kepada perempuan yang berhaidh berpuasa sepanjang tempoh haidhnya.

Bolehkah perempuan yang haid menahan lapar dengan tujuan berpuasa?
Perempuan yang haidh yang menahan lapar dengan tujuan berpuasa adalah berdosa, tetapi tidak makan bukan tujuan berpuasa adalah tidak mengapa. Ini adalah pendapat al-Auza'ie, Malik, al-Thauri dan Abu Thaur.


Adakah perempuan wajib mengqada'kan puasanya?

Ya, dia wajib mengqada'kan puasanya berdasarkan hadis Aisyah r.anha yang menyebutkan :-
"فنؤمر بقضاء ولا نؤمر بقضاء الصلاة"
Yang bermaksud : - Maka kami disuruh supaya menggada'kan puasa tetapi tidak disuruh mengqada' solat.

Apakah hikmah puasa wajib diqada'kan sedangkan solat tidak wajib diqada'kan?

Ibn. al-Qayyim r.a menerangkan hikmah kewajipan mengqada'kan puasa terhadap perempuan yang haidh dan tidak diwajibkan pula mengqada'kan puasa. Beliau berkata :-
"Kewajiban berpuasa ke atas perempuan berhaidh tanpa mewajibkan solat (qadha') menunjukkan keindahan syariat Islam yang penuh hikmah yang mengutamakan kemaslahatan umat manusia yang mukallaf."
Beliau mengatakan lagi, " Solat yang dilakukan pada hari-hari suci memadai untuk menampung semua solat yang ditinggalkan semasa hari-hari haidh. Oleh itu kemaslahatan solat pada hari-hari suci terhasil untuknya kerana dilakukan berulang-ulang pada setiap hari .
Ini berlaikan dengan puasa yang tidak dilakukan berulang-ulang setiap hari, ia hanya dilakukan pada satu bulan sahaja di dalam setahun. Jika digugurkan kewajipan puasa dengan sebab haidh maka tidak ada cara lain untuk mendapatkan ibadat yang sebanding dengannya, dan hilanglah kemaslahatan puasa yang merupakan kesempurnaan rahmat Allah yang dapat diperolehi"
Begitu juga jika diwajibkan mengqada'kan solat yang banyak tertinggal akan mendatangkan kesusahan kerana haidh akan datang pada setiap bulan, berlainan dengan puasa hanya diwajibkan sebulan di dalam tempoh setahun. Semua ini adalah kemudahan yang Allah S.W.T kurniakan kepada hamba-hambaNya.


Bagaimanakah jika haidh datang ketika sedang berpuasa?
Perempuan yang datang haidh ketika sedang berpuasa maka batal puasanya walaupun ketika waktu hampir tenggelamnya matahari. Puasanya batal jika darah yang keluar telah sampai pada zahir kemaluannya. Jika ia hanya merasakan peralihan kedatangan haidh di saat hampir tenggelam matahari dan darah itu hanya keluar setelah matahari tenggelam, maka puasanya sah. Hal ini kerana darah yang masih terdapat di bahagian dalam rongga tidak ada hukum baginya.
Berdasarkan peristiwa nabi S.A.W ditanya mengenai perempuan yang bermimpi, adakah ia wajib mandi, lalu baginda menjawab yang dia wajib mandi sekiranya dia melihat adanya air.
Baginda S.A.W mengaitkan hukum wajib mandi dengan melihat adanya air mani bukan dengan peralihan air mani itu dari dalam dirinya. Begitulah juga halnya dengan haidh. Maka hukumnya tidak sabit kecuali setelah melihat ianya betul-betul keluar bukan semata-mata dengan peralihan dari dalam.


Bolehkah berpuasa jika haidhnya berhenti selepasa terbit fajar?
Ketika terbit fajar perempuan masih berhaidh maka puasanya pada hari tiu tidak sah. Begitu juga jika haidhnya tamat sebaik sahaja terbit fajar kerana ketika waktu itu dia tidak diperintahkan untuk berpuasa.
Hal ini berdasarkan hadis Aisyah r.a:
"كان النبي صلى الله عليه وسلام يصبح جنبا من جماع غير احتلا ثم يصوم في رمضان"
Yang bermaksud : " Adalah Nabi S.A.W berpagi-pagi dalam keadaan berjunub kerana melakukan persetubuhan bukannya kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada bulan Ramadhan. " - Riwayat al-Bukhari & Muslim


Adakah perempuan haidh yang meninggalkan puasa mendapat pahala?
Perempuan haidh yang meninggalkan puasa diberikan ganjaran pahala kerana menjunjung perintah Allah S.W.T agar tida berpuasa semasa haidnya.



Adakah haidh memutuskan urutan puasa kifarat atau nazar?

Haid tidak menyebabkan terputusnya urutan hari berpuasa bagi puasa kifarat dan nazar. Oleh itu, jika seorang perempuan bernazar untuk berpuasa dua bulan berturut-turut atau ia wajib membayar kifarat dengan berpuasa secara berturut-turut, kemudian di pertengahn puasanya ia didatangi haidh, maka dia hanya perlu menyambung baki puasa yang tinggal setelah suci daripada haidnya dan ia tidak wajib memulakan semula puasa yang baru.


Seorang perempuan telah berhenti haidh pada hari ke 7, lalu menunaikan puasa Ramadhan. Setelah berlalu 3 hari suci, pada hari yang ke 10 terdapat tanda-tanda darah haidh berwarna perang. Adakah puasa itu sah atau perlu mengqada'kannya?

Menurut mazhab as-Syafi'e, tempoh haidh yang paling kurang bagi sesetengah wanita ialah sehari semalam, tempoh kebiasaan ialah tujuh hari tujuh malam dan yang paling lama ialah lima belas sehari semalam.
Dalam masalah ini, jika tempoh tanda-tanda datang haidh selepas itu berlalu dalam hari yang jika dicampurkan dengan tujuh hari pertama haidh masih belum cukup tempoh haidh yang paling panjang (15 hari), maka hukumnya tanda-tanda keadaan yang kedua itu dikira sebagai haidh juga.
Ini bermakna puasa yang dilakukan tidak sah kerana tempoh itu bukanlah tempoh suci dalam ertikata yang sebenarnya dan dia dikehendaki menggantikannya pada hari-hari lain.


Adakah perempuan haidh yang meninggalkan puasa dikenakan fidyah?
Perempuan yang meninggalkan puasa kerana haidh atau nifas tidak dikenakan sebarang fidhyah. Dia hanya diwajibkan mengaqda'kan puasanya yang tertinggal sahaja. Adapun pandangan ulama' mengenai fidyah yang dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa adalah seperti berikut:-
1- Para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak berdaya langsung mengerjakan puasa adalah wajib membayar fidyah. Seperti orang tua yang lemah dan sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Ibnu Abbas menjelaskan bahwa perkara ini adalah satu keringanan daripada Allah S.W.T
2- Para Ulama' juga bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak mampu berpuasa kerana menderita dengan sakit yang ada harapan untuk sembuh juga wajib membayar fidyah.
Hal ini berdasarkan firman Allah Ta'ala yang bermaksud :-
" Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. "
3- Bagi perempuan yang hamil atau menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan anaknya, dia dibenarkan berbuka. Menurut jumhur ulama' dia diwajibkan mengqada'kan puasanya serta membayar fidyah untuk setiap puasa yang ditinggalkannya..Ulama' Hanafi berpendapat sebaliknya, di mana perempuan di atas tidak pelu fidyah.
Jika perempuan yang hamil khuatirkan keselamatan diri sendiri, dia hanya diwajibkan qadha' sahaja tanpa fidyah. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama'.


Apakah dalil, hukum dan bayaran fidyah?
Dalil fidyah ialah firman Allah Ta'ala :-
" Dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dsbnya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." - Quran surah Al-Baqarah:184
Hukum fidyah adalah wajib berdasarkan firman Allah di atas. Adapun jumlah yang wajib dibayar menurut jumhur ulama' adalah sebanyak satu cupak makanan asasi di negeri tempatnya tinggal bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.


Adakah perempuan yang lewat mengqadha'kan puasa sehingga Ramadhan berikutnya dikenakan fidyah?
Jumhur ulama' menyatakan bahawa perempuan yang lewat mengqada'kan puasa Ramadhan sehingga datang Ramadhan berikutnya wajib membayar fiddyah. Akan tetapi jika kelewatan mengqada'kan puasa itu kerana uzur atau sakit maka tidak diwajibkan membayar fidyah.
Menurut Imam Hanafi pula, mereka tidak dikenakan sebarang fidyah kerana memadai dengan mengqadha'kan puasa sahaja.


Adakah fidyah akan bertambah dengan pertambahan tahun?
Menurut pendapat mazhab terkuat di dalam mazhab Syafi'e bahawa bayaran fidyah akan bertambah dengan pertambahan tahun. Hujah mereka ialah kewajipan yang berbentuk harta tida boleh dihimpunkan sekaligus.
Manakala mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat tidak berganda dengan pertambahan tahun. Mereka menyamakannya dengan hukuman hudud yang dikenakan sekaligus.

Alhamdulillah usai dah.. semoga apa yang dikongsikan ini sedikit sebanyak dapat merungkaikan kekeliruan dan permasalahan sahabat-sahabat muslimah di luar sana. Walaupun mungkin ada di antara perkongsian dari soal jawab di atas sepertinya perkara yang mudah dan selalu diketengahkan oleh sesetengah dari kita, namun ana yakin ada juga di antara kita yang masih mencari jawapan bagi persoalan mereka...

Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat dimanfaatkan bersama. InsyaAllah.. Akhirulkalam selamat beramal dari ana.. salam perjuangan dan salam Ramadhan yang mulia. Fi hifzillah (^_^)v




Faqirah 'indallah
Pusat Latihan Dakwah Keningau
07 Ogos 2011 / 07 Ramadhan 1432 H





1 comment:

Unknown said...

terima kasih kerana memberikan pencerahan di dlm masalah ini..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...