Friday, August 21, 2009

Peluang ‘Naik Pangkat’

Kemuncak bulan ‘mega’ tiba lagi. Allah telah panjangkan umur kita untuk merebut peluang menggilap rohani di bulan-bulan Rejab, Syaaban dan kini Ramadan. Melangkah masuk ke bulan penuh keberkatan ini, bermulalah pengembaraan rohani kita menyusuri rahmat dan keampunan Allah. Yang kita kejar bukan nama, pangkat, kesihatan dan kemuliaan di dunia atau di sisi manusia, tapi pangkat besar dari Allah iaitu darjat takwa.

Allah berfirman, maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Kembara rohani kita menuju takwa adalah hakikatnya perjalanan hati untuk kembali kepada keadaan fitrah yang bersih.Hati yang hidup bersama turun naiknya nafas kita itu tidak akan benar-benar tenang dan tenteram selagi tidak menemui jalan untuk berbuat taat dan mengagungkan Allah. Ini sesuai dengan fitrahnya yang asal sewaktu di alam roh – sebelum ia ditempatkan di dalam jasad lahir kita dan tercorak mengikut pengaruh nafsu dan syaitan.

Ramadan adalah saat terbaik untuk mengembalikan hati kepada fitrahnya. Penghulu segala bulan ini membawa bersamanya rahmat dan keberkatan yang sangat banyak dan melimpah-ruah dari Allah. Inilah masa terbaik untuk meningkatkan amalan-amalan takwa dan mendidik serta membersihkan hati dari sifat-sifat yang bertentangan dengan fitrahnya. Peluang untuk ini terbuka luas di sepanjang bulan Ramadan terutama melalui ibadah puasa, juga ibadah-ibadah lain yang hanya terdapat di bulan Ramadan iaitu ibadah sahur dan berbuka, solat tarawih serta membayar zakat fitrah.

Di dalam bulan ini juga terdapatnya malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Kedudukan, kemuliaan dan keberkatannya menyamai seribu bulan di sisi Allah. Bertemu dengan kemuliaan malam ini dalam keadaan hati dekat dengan Allah dan diri disibukkan dengan ibadah seolah-olah mendapat ‘jalan pintas’ untuk meningkatkan kualiti diri kita di depan Allah. Tetapi peluang untuk mendapat ‘jalan pintas’ itu pun hanya akan Allah mudahkan untuk orang yang sungguh-sungguh menempuh jalan penuh berliku sebelumnya. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Kalau diri tidak dilatih dan hati tidak dipimpin untuk menghayati kebesaran malam-malam sepanjang Ramadan dengan melakukan solat, baca Quran, wirid dan zikir dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan, manakan dapat kenaikan pangkat atau ‘promotion’ dari Allah hanya dalam satu malam. Pangkat dari manusia pun tidak diperolehi dengan sebegitu mudah.

Liku-liku untuk dapat kenaikan pangkat dari Allah mesti dilalui berserta pengorbanan dan harus menempuh ujian demi ujian. Bukan dengan jalan bersedap-sedap dan bermudah-mudah.
sumber : surau.com

Thursday, August 13, 2009

~ Insan Terpilih

Aduhai hati yang selalu gundah gulana.. Mengapa perlu difikirkan kehidupan duniawimu. Sedangkan dunia itu sering menipumu. Bukankah kehidupan ini penuh dengan majazi? Tipu daya di sana sini? Maka, hendaklah engkau susun langkahmu penuh hati-hati, Ingatlah, syaitan itu sentiasa tidak mahu mengaku kalah dan tidak pernah putus asa. Setiap saat masanya adalah berharga. Tidak dibiar kosong tanpa menyesatkan adam dan hawa. Lantas, bagaimana engkau masih lagi memikirkan hal duniamu? Perbanyakkanlah berfikir, renung penuh bererti.. Bagaimana bakal kehidupanmu sewaktu mengadap Tuhan Rabbul ’Izzati..? Selamatkah dirimu di hari yang tiada pelindung melainkanNYA? Akan beratkah amal yang akan engkau bawa? Justeru, renungkanlah duhai diri yang lemah. Agar kehidupanmu di dunia sentiasa waspada.. Semoga, akan hadir dalam hatimu jiwa yang sensitif dengan dosa. Merasakan dosa itu besar sekalipun pada kesilapan sekecil zarah. Ketahuilah.. itulah antara ciri-ciri mereka yang aqrab dengan tuhanNya. Yang punya Ihsan dalam hatinya. Merasa kehadiran Allah dalam setiap sentuhan masa yang ada.. sekalipun mata tidak melihat, tetapi hati menyakini Allah MAHA MELIHAT.

Untuk apa perlu dirisaukan, aduhai hati yang rawan.. sebuah kehilangan itu hanya secebis dugaan.. dari Tuhan sekalian alam.. Hilang bukan bererti tamatnya sebuah kehidupan, tetapi dengan kehilangan itulah darjatmu ditinggikan. Hairan? Mengapa perlu dihairankan, Allah itu Maha berkuasa, zat yang sempurna penuh keagungan. Lupakah duhai hati, Allah telah berjanji dalam kalamNya Izzati.. ”Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?” Maka, hadapilah ujian dengan sejuta kesabaran. Percayalah, yakinlah sepenuh hatimu.. Hanyasanya Allah bersama-sama mereka yang SABAR.

Aduhai hati yang penuh kesedihan.. Mengapa perlu ditangisi sebuah perpisahan? Bukankah semua kita akan pergi.. pulang kepangkuan Tuhan. Dialah yang menjadikan.. Dan padaNya jua segalanya akan dikembalikan. Lupakah engkau, hidup di dunia ini sekadar persinggahan. Yang kekal hanyalah amalan sebagai teman. Itulah teman dalam perjalanan menuju sebuah keabadian.. Maka, janganlah engkau lalaikan hatimu dengan kehidupan yang sementara ini. Janganlah engkau tangisi lagi sebuah perpisahan sementara.. akan tetapi, hadapkanlah wajahmu sentiasa kepada Allah.. Penuhkanlah jiwa dan hatimu dengan dzikrullah memuji kebesaranNya. Juga sibukkanlah hari-harimu dengan amalan makruf nahi mungkar , mengikut sunnah kekasihNya. Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah TAQWA.

Duhai diri yang lemah.. Kembalikanlah hatimu kepada Rab.. Kerana DIA lah pemilik segala yang engkau ‛miliki’.. Segalanya hanya pinjaman untuk menguji. Kentalkanlah semangat juangmu. Jadilah seperti syaidatina Aisyah, putrinya Syaidina Abu Bakr.. Walau fitnah mencalar maruah, Dia tetap Aisyah! Walau rumahtangganya di landa badai anggkara si munafiq durjana, tetap teguh pendiriannya, menggunung Tawakkalnya. Pada Allah sw.t dia berdoa, mengharap furqan agar tenggelam segala nista. Insafilah duhai diri yang lemah, Allah sengaja menguji sekeping hati yang kecil.. sebagai tukaran untuk mendapatkan habuan yang lebih besar kelak. Maka bersyukurlah.. bersyukurlah.. bersyukurlah kerana engkau insan terpilih.

Wednesday, August 5, 2009

NISFU SYA"BAN

Oleh : Abd al-Razzaq bin A.Muthalib

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:

- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar)). Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).

Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.

Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis.

Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.

~ Kasih Nan Abadi..

Satu... kasih nan abadi
Tiada tandingi Dia yang satu

Dua... sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya ibu

Tiga... lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah

Empat... mudah kau ketemu
Perhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih

Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambut ku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa

Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus kau renungkan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...