Tuesday, June 23, 2009

Menyingkap kekeliruan REJAB

Assalamu'alaikum buat semua. Saya mendapati artikel ini amat menarik dan bermanafaat dalam menyingkap kekeliruan kita selama ini terhadap sesetengah amalan-amalan dalam Bulan Rejab ,Sya'aban dan Ramadhan.Di harap artikel ini bisa menjelaskan apa yang kabur.
Semoga ALLAh redhai dan terima segala amal kita yang berdasar sunnah Nabi s.a.w.

AMALAN-AMALAN YANG DIANGGAP SUNNAH PADA BULAN REJAB
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus*

Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke lima dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar. Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) ; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Lantaran itu telah tersebar dalam masyarkat kita bahawa terdapat amalan-amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena bulan Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

PUASA REJAB

Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama pada bulan Rejab, Nisfu Rejab (15hb Rejab) dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka dibawa beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Ibnu Rajab di dalam al-Mughni:Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat.

Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: “Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: “Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif. Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab

Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854.Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah.

Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152

Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak.

SOLAT BULAN REJAB


Terdapat beberapa solat yang dikhususkan sempena bulan Rejab seperti solat pada malam pertama bulan Rejab, solat Nisfu Rejab, solat pada malam 27hb Rejab dan yang paling masyhur dikalangan orang ramai iaitu solat yang dikerjakan pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib. Kesemua dalil tentang solat-solat khusus sempena bulan Rejab ini adalah sama ada dha’if (lemah) atau mawdhu’ (palsu) sebagaimana yang telah diperkatakan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab.

Tentang solat Raghaib ini Imam al-Nawawi yang juga merupakan seorang tokoh dalam mazhab Syafie telah berkata di dalam Fatawa an-Nawawi (ms. 40):
Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela, mungkar dan sangat diingkari, yang mencakup kemungkaran- kemungkaran sehingga harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya. Kepada para penguasa harus melarang manusia dari melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnya.

Para ulamak telah menulis buku-buku khusus tentang masalah ini untuk mengingkari dan mencelanya serta membodohkan pelakunya. Janganlah kita terperdaya oleh banyaknya orang yang melakukannya di banyak negara Islam dan jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali) dan sebagainya kerana kedua solat itu iaitu (solat Raghaib dan solat Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil.

UMRAH PADA BULAN REJAB


Terdapat juga pandangan bahawa pada bulan Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu menurut ‘Aisyah r.a Rasulullah s.a.w tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada bulan Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a sedang duduk di samping bilik Saidatina ‘Aisyah r.a ... Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah? Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah. Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada bulan Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.Dia (mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu ‘Aisyah) sedang bersiwak.

Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman? Dia berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni ‘Aisyah) ikut bersama baginda dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1775 & 1776.


Ternyata Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab dan tidak ada juga riwayat yang sabit daripada baginda yang menganjurkan umrah dikerjakan pada bulan Rejab. Oleh itu pendapat yang lebih tepat adalah bahawa ibadah umrah tidak memiliki keutamaan tertentu sekiranya dikerjakan pada bulan Rejab malah tidak ada dalil yang kuat menunjukkan ianya disunnahkan untuk dikerjakan pada bulan tersebut. Riwayat-riwayat yang menunjukkan terdapat dikalangan generasi salaf yang mengerjakan umrah pada bulan Rejab bukan menunjukkan mereka telah berniat untuk mengkhususkan bulan itu untuk berumrah. Namun tujuan mereka adalah untuk melaksanakan haji dan umrah dalam dua waktu atau perjalanan yang berbeza.


‘ATIRAH BULAN REJAB

‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada bulan Rejab yang digunakan oleh orang-orang Arab jahiliyah untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka. Ianya dilaksanakan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab dan haiwan yang biasanya dipergunakan untuk ritual ini adalah kambing. Terdapat sesetengah umat Islam yang masih melaksanakan ‘Atirah ini berpandukan beberapa hadis seperti dibawah.Al-Harith bin Amru pernah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ‘Atirah maka jawab baginda:

Sesiapa yang mahu menyembelih ‘Atirah silakan menyembelih dan siapa yang tidak mahu jangan menyembelih. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, no: 4154

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkurban dan menyembelih ‘Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu ‘Atirah? Iaitu apa yang kalian namakan Rajaban. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 1438.

Namun hadis-hadis tersebut hanya menunjukkan ‘Atirah telah dibenarkan perlaksanaanya pada zaman awal kedatangan Islam sedangkan ia telah dimansuhkan hukumnya setelah itu sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah. Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak. Sedangkan ‘Atirah adalah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama bulan Rejab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5473.

Imam Ibnul Qayyim r.h di dalam Tahdzib Sunan Abi Dawud berkata:Orang-orang Arab mengerjakan tradisi (al-‘Atirah) itu pada masa jahiliah, lalu dikerjakan sebahagian orang Islam sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkannya, tetapi setelah itu baginda melarangnya seraya bersabda “Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah” sehingga umat Islam setelah itu dilarang mengerjakan ‘Atirah.

Namun ini bukan bermakna dilarang sama sekali untuk menyembelih haiwan pada bulan Rejab. Yang dilarang adalah menghidupkan semula al-‘Atirah atau menyembelih haiwan dengan niat untuk mengagungkan bulan Rejab sebagaimana golongan Arab jahiliah.


SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ

Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Rata-rata umat Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab. Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut.

Hal ini telah diperjelaskan oleh al-Hafidz Ibu Hajar al-'Asqalani r.h:
Para ulamak berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulamak berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Sa'd dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan dengan menukil kononnya ulamak telah berijmak bahawa peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat." – Rujuk Kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, jilid. 7, ms. 203.

Selanjutnya di dalam kitab tersebut al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan pendapat para ulamak tersebut satu persatu. Dari sini, benarlah dakwaan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulamak hadis) hal itu merupakan pembohongan. – Rujuk Kitab al-Ba’its karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.

Ibn Rajab al-Hanbali r.h pula berkata:
Telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w lahir pada awal malam bulan Rejab, diangkat menjadi Nabi pada tarikh 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih. – Rujuk Kitab Latoif al-Ma’aa-if karangan Ibn Rajab Abdul Rahman bin Ahmad, ms. 168.

Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini? Hendaklah kita fahami bahawa apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut.

Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram, puasa pada Ayyam al-Bidh, beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan lain-lain lagi.

Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh yang lain. Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk dan Mikraj.

Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry r.h:
Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bidaah. Sementara oang yang mengistimewakan malam tersebut dengan zikir dan ibadah adalah bidaah. Doa-doa yang khusus dibaca pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadan hanyalah ciptaan manusia dan bidaah. Sekiranya amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada dalil pasti yang menetapkan bilanya terjadi peristiwa Israk dan juga bulannya." - Rujuk As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 153-154.

Demikianlah beberapa perbahasan tentang amalan-amalan yang dianggap sunnah pada bulan Rejab. Kesimpulannya tidak ada dalil yang sah menunjukkan adanya amalan-amalan khusus seperti solat, puasa, umrah, zikir-zikir, bacaan istighfar tertentu, doa-doa sempena bulan Rejab. Hendaklah seluruh umat Islam menghindari amalan-amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sewajarnya kita tetap taat dalam mengikuti hanya amalan-amalan yang sabit daripada baginda s.a.w.. Ini adalah kerana setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada baginda ianya tidak diterima sebagai ibadah. Sabdanya:

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718.

sumber : http://tokasid.blogspot.com/2008_07_01_archive.html
* Mohd Yaakub bin Mohd Yunus adalah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad dan beliau boleh dihubungi di http://akob73. blogspot. com/

1 comment:

Musafir said...

اللهم بلغني رمضان

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...