Thursday, February 5, 2009

~ Isu Wahabi : Tingkap Di Sangka Pintu??

Salamun'alaik wrt wbt..

Kali ini saja ana copy & paste tentang wahabi dari ust Asri Zainal Abidin dan Ustaz Hasrizal. . . Ana sebenarnya kalau boleh tak ingin nak "kenal" apa itu wahabi. Cuma, hal ni tercetus bermula dari seorang sahabat. Ana pun mula la nak tahu apa itu wahabi. Tambahan lagi sabtu ini, ada seminar tentang Wahabi. Sempat seorang ustaz pesan pada ana, sebelum pergi kenalah tahu serba sedikit apa itu wahabi. Melalui pembacaan, perbincangan dan kajian, alhamdulillah dapat juga ana kenali serba sedikit tentang wahabi ni... Artikel ni ana cedok dari web al-ahkam.net. Semoga dapat di manfaatkan bersama. Wallahu a'lam

Assalamualaikum WBT.
Saya minta maaf kerana tidak bersuara dan tidak memberikan apa-apa komen berkenaan dengan tajuk Wahabi. Tetapi setiap email yang dikirim, saya membacanya. Minggu lepas, cermin mata saya patah. Sedangkan sekarang ni saya berbelas jam sehari mengadap komputer untuk menyiapkan buku yang bakal dikeluarkan oleh syarikat tempat saya bekerja. Apabila sudah teruk sangat mengadap skrin, saya diserang migrane yang paling teruk saya pernah alami. Hingga nak buka mata pun susah. Dengar bunyi jarum jam tangan berdetik pun sakit kepala dibuatnya. Alhamdulillah, gaji sudah masuk dan sudah buat cermin mata baru. Lega rasanya… boleh meneruskan perjuangan di medan penulisan ini semula.

Saya rasa ulasan tentang Wahabi itu sudah banyak, dan boleh dikatakan keseluruhannya baik, Insya Allah. Saya sebenarnya sentiasa avoid untuk tersentuh semula bab ni sebab saya rasa, pengalaman lepas sudah cukup memeritkan, terutamanya semasa melihat adik-adik di Jordan berperang sesama sendiri, tidak bertegur sapa dan macam-macam lagi insiden yang memalukan, semata-mata atas isu ini. Malah, semasa di UK dan Ireland pun keadaannya sama. Pendek kata, apabila bincang bab Wahabi ni, banyak sungguh masa terbuang. Sebab tu kalau nak bincang pun, saya cuba mencari sudut yang belum pernah saya sentuh.

Anyway, saya terkenang semasa di Ireland, saya ada seorang housemate berbangsa Perancis yang pada masa itu baru 9 bulan masuk Islam. Dia masuk Islam selepas beberapa ketika terpikat dengan falsafah, dan keindahan syair-syair Jalaluddin ar-Rumi. Jadi, orangnya agak ‘sufi’ dan jiwanya halus. Malang sekali, dalam usia Islamnya yang begitu muda, dia telah menerima suntikan maklumat supaya berhati-hati mempelajari Islam sebab jika tersilap, akan terjebak ke belenggu Wahabi!

Suatu hari, dia bersembang dengan saya secara personal. “Hasrizal, I have a good news but it is not that good!”. Hairan saya mendengarnya lalu saya bertanya, “what sort of statement is this? I can’t see what you are trying to tell me”. Katanya, “my wife is pregnant and I’m gonna be a daddy!” Wow, ini sepatutnya menjadi berita gembira. Saya tanya dia, kenapa pulak awak tak begitu gembira dengan berita ni? Dan jawapannya amat mengejutkan saya.

Dia gembira apabila mendapat tahu isterinya mengandung. Tetapi dia dihantui rasa bimbang hingga paranoid. Katanya, dia orang sufi, suka kepada zikir-zikir dan meminati Jalaluddin ar-Rumi. Dia takut apabila anaknya dah dewasa, anaknya akan jadi Wahabi dan mengkafirkan dia kerana sufinya dia! Ya Allah, rasa nak putus jantung saya dibuatnya.

“What are you talking about, mate? All these are nonsense!”, rasa nak mengamuk saya dibuatnya. Itulah kali pertama dia sebut tentang Wahabi kepada saya dan apabila saya siasat, rupa-rupanya dia telah diberikan berbelas keping artikel tentang bahaya Wahabi sedangkan, dia baru sahaja belajar bertatih di dalam ilmu Fardhu Ainnya.
Ya, itu satu kenangan silam saya tentang Wahabi.

ERA PRA KEMBARA ILMU

Semasa di Malaysia kira-kira pada tahun 1992, saya pernah membaca sebuah buku kecil di dalam Perpustakaan Tun Datu Haji Mustafa, iaitu perpustakaan sekolah saya (SMA Izzuddin Shah, Ipoh). Buku tu telah menyenaraikan Wahabi sebagai salah satu ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Emm, saya terima sahaja benda tu dan saya tidak nampak apa signifikasinya. Apabila saya berangkat ke Jordan dan memulakan pengajian, pada kepala saya mudah sahaja. Saya Syafie di dalam Fiqh, saya Asyairah di dalam Aqidah, Wahabi pula terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah. Itu semacam satu kepercayaan by default yang kita dapat dari Malaysia. Tetapi syukur, saya tak pernah kunci mana-mana pintu untuk menilai pandangan kedua.

Satu perkara yang saya sayang tentang Jordan (I can't believe that Im actually saying this J), ialah pengajian di Jordan bersifat comparative. Kita sentiasa digalakkan meluaskan kajian, pembacaan, membuat perbandingan pendapat, dan jika boleh, membuat Tarjih. Tetapi yang paling penting, Jordan mewajibkan pelajarnya hadir kelas. Kalau 6 kali tidak datang kelas, mahrum (diharamkan) masuk ke final exam. Jadi, apabila kita konsisten masuk kelas, pemikiran kita sentiasa dididik agar bermanhaj. Saya masih ingat, semasa di dalam subjek Hadith Ahkam, kami berbalah dengan pensyarah tentang sejauh mana argument para Fuqaha’ tentang masalah kewajipan suci daripada kedua-kedua hadath apabila hendak memegang mushaf al-Quran. Akhirnya kami sekelas diberi masa seminggu untuk pergi ke perpustakaan dan mengumpulkan semua dalil yang diguna pakai oleh ulama semua mazhab di dalam bab ini. Sama ada dalil al-Quran, Hadith, Usul Fiqh atau apa sahaja. Benda-benda seperti ini sangat baik. Ia mengajar kita untuk bersikap adil terhadap ilmu, Insya Allah. Syaratnya, anda ke kelas!

Sebahagian daripada tuntutan silibus pengajian di Jordan, saya dikehendaki membaca buku daripada pelbagai aliran. Saya baca kulit ke kulit buku Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah oleh Dr. Al-Buthi, saya baca Maqalaat al-Islamiyeen oleh Imam Abu al-Hasan Ashaari, dan dalam masa yang sama, saya juga dikehendaki membaca, memahami dan boleh membahaskan buku-buku karangan ulama yang dilabelkan Wahabi (walaupun mereka lahir, hidup dan mati beratus tahun sebelum kemunculan Muhammad bin Abdul Wahab) seperti Ibn Taimiyyah dengan bukunya Al-Ubudiyyah, Al-Fatwa Al-Humawiyah Al-Kubra dll, Ibn Qayyim, malah tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri. Hmm, dengan fikiran saya yang saya yakin ia waras, sedar, ada manhaj sedikit sebanyak, dan adil dalam menilai sesuatu, demi Allah, saya tidak nampak dari sudut manakah, kesemua buku yang saya sebutkan tadi (sama ada aliran Salaf mahu pun Khalaf), yang membolehkan saya menghukum Wahabi atau Ashaari atau Maturidi terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

KESIMPULAN YANG SIHAT

Saya amat selesa dengan nasihat Dr Abdullah Fawwaz semasa di Jordan. Katanya, “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan Yakin kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!”. Saranan yang sama saya dapat daripada Hasan al-Banna dan ramai lagi tokoh yang berjiwa Da’ie.
Semasa di UK juga, jika saya diminta membentangkan kertas kerja berkaitan isu pertembungan Salaf dan Khalaf, saya suka mengambil pendekatan Hasan al-Banna yang sentiasa mengenengahkan titik-titik persamaan dan bukannya berkasar dengan perbezaan. Mudah-mudahan cara ini adalah cara paling baik, khususnya di dalam usaha pembaikan umat.

CINTA OTHMANIYYAH BENCI WAHABI?

Saya juga seorang pengkaji Sejarah Khilafah Othmaniyyah. Bukan kaji main-main, tapi sampai belajar Bahasa Turki, belajar Bahasa Othmaniyyah, belajar cara baca manuskrip Othmaniyyah, berpuluh kali berulang ke Turki, berkeluarga angkat bangsa Turki, tinggal serumah dengan kawan-kawan Turki, memasak masakan Turki, mengigau di dalam Bahasa Turki... cuma kahwin dengan orang Turki sahaja yang saya tidak buat! (isteri saya mesti berbangga dengan sambal belacannya). Saya cintakan Sejarah Othmaniyyah, saya serahkan diri kepada bidang ini secara bersungguh-sungguh terutamanya selepas melihat gambar Sultan Abdul Hamid II dibaling dengan batu oleh puak sekular di Istanbul. Terutamanya selepas saya bertemu dengan catatan Sultan Abdul Hamid II “I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so, I am certain that some foreign historians will do me justice”. Apabila saya banyak menghabiskan masa membaca karangan-karangan ulama di zaman mutakhir kerajaan Othmaniyyah, saya dibebankan dengan timbunan penulisan mereka yang mencela dan mencaci Muhammad bin Abdul Wahhab, khususnya melalui buku-buku yang diedarkan secara percuma oleh Ihlas Vakfi di Fatih, Istanbul.

Ya lazimnya, kalau mahu cinta kepada Othmaniyyah, perlulah bermusuh dengan Wahabi.
Tetapi saya bukan jenis begitu... dan saya puji Allah yang telah memimpin saya di dalam pencarian ilmu. Saya boleh cinta kepada Othmaniyyah tetapi cinta saya bukan buta. Saya bersedia untuk mengiktiraf sudut-sudut hitam Sejarah Othmaniyyah, termasuklah kelakuan-kelakuan buruk Gabenor Othmaniyyah yang bertugas di tanah Hijaz. Saya bersedia untuk menahan pedih hati dan jiwa menganalisa penyebaran fahaman Turanisma (nasionalis Turki) yang menular di seratus dua ratus tahun terakhir umur kerajaan Othmaniyyah.

Di dalam masa yang sama, saya terus membaca tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahab, dan akhirnya saya rasa adil untuk saya sebut “untuk sekumpulan manusia yang Aqidah dan Fikahnya sejahtera, membuat pembacaan politik yang salah, ia adalah sesuatu yang boleh diterima akal”. Pada saya, Muhammad bin Abdul Wahab serta pengikutnya, sama ada mahu dipanggil Wahabi atau Muwahhidin atau apa sahaja, mempunyai pegangan Aqidah dan Fiqh yang sejahtera. Tetapi ia bukan jaminan untuk mereka membuat bacaan politik dan pendekatan siasah yang betul. Maka permusuhan Muhammad bin Abdul Wahab dengan Khilafah Othmaniyyah, pada kiraan saya adalah soal ijtihad yang betul dari sudut menentang kemungkaran, tetapi salah dari segi tidak membezakan kelakuan gabenor Turki yang goblok dengan polisi sebenar Khilafah Othmaniyyah yang Islam. Saya tidak bersetuju dengan bentuk penentangan Muhammad bin Abdul Wahhab terhadap kerajaan Othmaniyyah, tetapi atas dasar hujah. Tidak sekali-kali bantahan saya di dalam persoalan pendekatan siasah Muhammad bin Abdul Wahhab, mengheret saya untuk menolak beliau dan gerakannya secara menyeluruh. Soal Aqidah dan Fiqh adalah satu isu, soal pendekatan siasah pula adalah isu yang lain. Jika approach Muhammad bin Abdul Wahhab dianggap keterlaluan oleh masyarakat Melayu yang 'kurang keras', maka approach tersebut boleh ditolak. Namun jangan sampai disesatkan Aqidah dan Fiqh mereka tanpa justifikasi yang adil.

SULTAN ABDUL HAMID II DAN GERAKAN WAHABI

Malah saya sendiri gembira apabila Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terpeinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.

Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkanlah untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang pada hari ketiga kepada Badwi tersebut lalu berkata:

“Apa masalah kamu?”

“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!”, jawab orang Badwi itu tadi.
Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya, “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab, “inilah dia syeikh aku, yang duduk dalam kubur ni!”

Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata, “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang dah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang temulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)

Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)

Ini adalah sebahagian daripada cacatan tentang Muhammad bin Abdul Wahhab yang saya baca dari sumber sejarah Othmaniyyah. Banyak lagi yang boleh dikaji, termasuklah di dalam koleksi nasihat Snouck Hurgronje kepada Pegawai-pegawai Belanda yang berpuluh jilid di Perpustakaan Yildiz Sarayi.

DAKWAAN DI AKHBAR UTUSAN

Akan tetapi, saya terkasima membaca tuduhan Dr Uthman Muhammadi bahawa gerakan Wahabi telah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah. Saya tidak tahu apa motifnya. Apakah kenyataan ini mahu ‘memancing’ pihak kerajaan supaya menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang ke atas Wahabi di atas dasar Wahabi boleh menjatuhkan kerajaan BN sebagaimana Wahabi pernah menjatuhkan kerajaan Islam Khilafah Othmaniyyah? Pada saya, ini bukan suatu kenyataan yang ada asas. Asas sejarah tiada, asas politik pun tidak ada. Apa yang saya tahu ialah, antara gerakan yang benar-benar memainkan peranan menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah adalah gerakan Ataturk. Dan ironinya, menurut Milner, gerakan inilah yang dikaji oleh Dato Onn Jaafar sehingga membawa kepada tercetusnya idea menubuhkan UMNO yang sekular lagi progresif. (Milner, A.C (1986), ‘ The Impact of the Turkish Revolution on Malaya, Archipel 31, Paris). Jadi, untuk mengaitkan Wahabi dengan ancaman anti establishment, saya sukar melihat sifirnya.

GOLONGAN YANG MEMUSUHI WAHABI

Namun yang saya pasti, golongan yang memusuhi Wahabi ini ada ramai. Pertamanya adalah Syiah. Mereka amat benci kepada Wahabi, mungkin bermula dengan kebencian mereka terhadap Ibn Taimiyah yang telah menulis kitab Minhaaj as-Sunnah yang telah meruntuhkan berhala kepercayaan mereka.

Keduanya, Ulama-ulama di Mekah yang juga merupakan tuan-tuan guru kepada pelajar Nusantara yang menyambung pengajian di Mekah. Pelajar ini pula pulang ke Kepulauan Melayu dan menjadi tok-tok guru di pusat-pusat pengajian pondok dan pesantren. Saya masih mengkaji apakah sebenarnya isu yang timbul di antara Mufti Mekah Sheikh Zaini Dahlan dengan Muhammad bin Abdul Wahab. Permusuhan antara mereka menyumbang kepada berpindahnya kecaman ke atas Wahabi ke Nusantara, generasi demi generasi.

Golongan ketiga yang memusuhi Wahabi adalah golongan Islam Liberal. Mungkin pendekatan Wahabi yang mengetatkan pemahaman teks al-Quran dan al-Hadith telah menyesakkan dada golongan Islam Liberal yang mahu melepaskan diri daripada cengkaman tradisi Islam yang mereka anggap sebagai 'penghalang kemajuan dan kebebasan beragama'.
Dan terkini, yang memusuhi Wahabi adalah Amerika dan kuncu-kuncunya apabila Wahabi dikaitkan sebagai fahaman anutan Osama bin Laden serta Abu Bakar Al-Bashir. Maka sifir mereka ialah:

Wahabi = Osama bin Laden = Abu Bakar al-Bashir = Nordin Mat Top = Dr Azahari = Terrorist!

Sifir ini memang luar biasa, namun hanya sehari selepas Dr Uthman Muhammadi mengungkapkan kebimbangannya terhadap Wahabi di Utusan, sifir ini muncul dengan panas lantas pelbagai spekulasi luar biasa timbul.

Entahlah, saya tidak suka untuk terjebak di dalam isu ini. Pada saya, jika anda adil terhadap ilmu, jika anda berfikiran terbuka, jika anda sudi belajar ilmu perbandingan mazhab dan aliran yang pelbagai, dan yang paling penting, jika anda rajin ke kelas sepanjang pengajian di universiti, Insya Allah anda boleh berlapang dada menerima Imam Syafie, Imam Abu al-Hasan Ashaari, Imam Maturidi, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Al-Ghazali, Muhammad bin Abdul Wahhab, Rashid Ridha dan sesiapa sahaja yang pandangannya baik. Dan anda juga boleh berlapang dada memaafkan kelemahan-kelemahan mereka kerana yang Maksum hanyalah seorang ialah tuan punya makam ini, bak kata Imam Malik, sambil menunjukkan tangannya ke arah makam Rasulullah S.A.W.

PERLU DIPERJELASKAN

Adalah amat penting untuk saya jelaskan di sini, saya bukan berusaha mempertahankan Wahabi. Jika Wahabi itu dirujuk kepada aliran Saudi oriented, atau yang asyik membid'ahkan masyarakat, atau yang menuduh liar setiap pembangkang itu adalah neo-Khawarij, apatah lagi yang mencarik-carik daging dan kulit pejuang seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb, maka saya bukan sebahagian mereka. Apa yang saya cuba pertahankan di sini adalah soal hak kebenaran yang mesti ditunaikan. Sama ada kritikan itu ditujukan kepada Wahabi, Khalaf, Salaf atau sesiapa sahaja, ia mestilah dibuat berasaskan bukti yang sahih lagi teruji. Andaikata anda suka menjadi pendekar peluru tabur, maka saya tidak di medan anda!

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra' 18 : 36)

Ya Allah, celikkan mata hatiku untuk melihat kebenaran di akhir zaman. Wassalamualaikum WBT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...