Thursday, February 26, 2009
~ Generasi manakah yang anda pilih?
Friday, February 20, 2009
~ Adab Bercinta dalam Islam.
Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”
ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.
Cinta Sebelum Kahwin
Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan. Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:
1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.
2.Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.
3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.
4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.
5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.
Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.
Cinta Selepas Bertunang
Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.
Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.
Cinta Selepas Kahwin
Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.
Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:
1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.
2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.
3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.
Seharusnya Cinta…
Insan yang beriman sering kali meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.
Hanya segelintir sahaja yang memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah. Tidak kira apa bangsa ataupun agama sekalipun, hakikat cinta adalah kembali kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.
Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan. Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan perbuatan.
Oleh yang demikian, insan yang beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan, kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.
Thursday, February 19, 2009
~ 12 Barisan Manusia Menuju Ke AKHIRAT
Sunday, February 15, 2009
~ Berubah atau Terhina
Hidup ini harus berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari, kerana jika tidak, hari-hari kita akan lebih buruk daripada hari sebelumnya. Perubahan dalam hidup adalah kejayaan. Penjahat yang kemudian bertaubat, penampilannya akan jauh berbeza dengan ketika ia menjadi penjahat. Yang saya maksudkan adalah penampilan fizikal dan hati. Ia akan lebih santun, senang beribadah, dekat dengan Allah, khusyu’ hatinya, jauh dari maksiat, dan bagus akhlaknya.
Pada hakikatnya tidak ada orang bodoh di dunia ini, yang ada adalah orang yang tidak mempergunakan akalnya. Oleh sebab itulah, Allah memerintahkan kepada kita untuk mempergunakan akal kita untuk kemaslahatan dunia dan akhirat kita. Akal yang kosong dari merenungkan tanda-tanda kekuasaan-Nya dan kosong dari ilmu pengetahuan, adalah akal para pelaku bid’ah, orang-orang fasik, dan pemimpin yang zalim. Barangsiapa memiliki akal tapi tidak digunakannya dengan semaksimum mungkin, maka dia harus segera menggunakannya, sebelum hawa nafsunya membelenggunya kerana akal telah kalah terlebih dahulu sebelum akal itu bertindak membelenggu hawa nafsunya.
Mari kita isi akal dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Jangan sampai hari-hari kita berlalu tanpa kita merenungkan satu ayat al-Quran-Nya, atau membaca beberapa halaman buku, atau memikirkan salah satu tanda-tanda kebesaran-Nya, atau mendengarkan hal-hal yang bermanfaat, atau melihat apa yang dihalalkan-Nya. Dalam setiap hari, harus ada ilmu yang masuk ke dalam akal kita dan membuat akal kita jauh lebih baik daripada sebelumnya, membuat diri kita semakin yakin akan kebenaran agama-Nya, semakin dekat dengan-Nya, semakin jauh dari maksiat, semakin benar perkataan dan perbuatan kita, dan semakin tulus amal kita.
Perubahan itu adalah dekat dengan kecemerlangan, kebahagiaan, kejayaan, dan kemuliaan. Imam Fudhail bin Iyadh dulunya adalah seorang penjahat, namun setelah bertaubat, beliau dikenali sebagai ahli ibadah, ulama fakih, dan contoh teladan bagi orang-orang kemudian. Kisah-kisahnya terus dibaca ulang, perkataan-perkataan nya disampaikan berulang-ulang oleh para khatib, ulama, ahli sufi, sehingga orang awam.
Orang-orang yang berubah adalah orang-orang yang mempergunakan waktu, fikiran, dan tenaganya untuk semakin dekat dengan Allah. Jika dulunya dia suka bermalas-malasan, maka sekarang waktunya digunakan seoptima mungkin, dan bila ada waktu luang, ia gunakan untuk memberi “makan” pada jiwanya agar semakin segar dan kaya dengan inspirasi. Jika dulunya tidak suka membaca, maka sekarang ia rajin membaca dan mencatat apa-apa yang bermanfaat untuk dirinya. Ia beri kesempatan beberapa jam dalam sehari untuk membaca. Ilmu – kata Imam Syafi’i – mendorong kita untuk beramal. Jika kita membaca buku tentang zuhud, maka keinginan untuk hidup zuhud akan muncul. Begitupun jika kita membaca buku tentang seni penulisan, maka keinginan untuk menulis akan muncul. Dan seterusnya. Itulah hakikat perubahan sesungguhnya. Bukannya semakin tidak menentu dan terhina setelah menjadi ahli ilmu.
Lawanlah dengan gigih setiap bentuk penyimpangan saat kita berjalan menuju tujuan. Lawanlah dengan sekuat tenagamu untuk tidak melakukan kemaksiatan dan untuk bersegera dalam menjalankan kewajiban. Setelah engkau lawan, kemudahan itu akan datang. Kegelisahan akan berubah menjadi ketenangan, dan keresahan berubah menjadi kebahagiaan.
Bacalah al-Quran satu juz setiap hari. Kamu pasti mampu melakukannya. Jika tidak mampu, berusahalah sehingga mampu. Paksalah jiwa, kerana sebelumnya jiwa ini kotor dan hati ini telah keras membatu. Maka setelah itu, jiwa ini akan bersinar dan rasa suka dalam membaca al-Quran akan muncul. Rasanya, batin ini terseksa kerana satu hari tidak membaca al-Quran atau tidak membacanya sesuai dengan target yang kita tetapkan.
Ketika kita tidak mampu menangis saat membaca al-Quran atau saat mengingat dosa-dosa masa lalu kita atau mengingat banyaknya kurniaan Tuhan yang belum disyukuri, maka tangisilah kerana kita tidak mampu menangis. Tangisilah mengapa kamu tidak boleh menangis. Tangisilah! Suatu ketika Khalifah Abu Bakar as-Siddiq menerima tetamu dari Yaman. Ketika al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menangis. Khalifah Abu Bakar berkata bahwa kita tidak mampu menangis kerana hati kita mengeras, kotor oleh maksiat. Sesungguhnya hati yang bersih akan menangis ketika ayat-ayat-Nya dibacakan. Jika demikian, apakah benar kita menangis ketika ayat al-Quran dibacakan? Jika tidak menangis, bererti sesungguhnya diri kita telah banyak melakukan maksiat. Ini prinsip yang berat, minimum jiwa kita tersentuh dan merasa terpanggil.
Inilah momentum perubahan, kerana ajal semakin mendekat, sementara amal buruk lebih banyak daripada amal soleh, yang dikufuri lebih banyak daripada yang disyukuri. Inilah saatnya untuk berubah, wahai jiwa-jiwa yang gelisah kerana kemunafikan, kemaksiatan, dan kelalaian. Inilah saatnya berubah, wahai jiwa-jiwa yang merindukan ketenangan dan kebahagiaan.
-sekian, diadaptasi dr artikel oleh saudara di Indonesia-
wallahua'lam, semoga bermanfaat.
Thursday, February 5, 2009
~ Isu Wahabi : Tingkap Di Sangka Pintu??
Assalamualaikum WBT.
Saya minta maaf kerana tidak bersuara dan tidak memberikan apa-apa komen berkenaan dengan tajuk Wahabi. Tetapi setiap email yang dikirim, saya membacanya. Minggu lepas, cermin mata saya patah. Sedangkan sekarang ni saya berbelas jam sehari mengadap komputer untuk menyiapkan buku yang bakal dikeluarkan oleh syarikat tempat saya bekerja. Apabila sudah teruk sangat mengadap skrin, saya diserang migrane yang paling teruk saya pernah alami. Hingga nak buka mata pun susah. Dengar bunyi jarum jam tangan berdetik pun sakit kepala dibuatnya. Alhamdulillah, gaji sudah masuk dan sudah buat cermin mata baru. Lega rasanya… boleh meneruskan perjuangan di medan penulisan ini semula.
Saya rasa ulasan tentang Wahabi itu sudah banyak, dan boleh dikatakan keseluruhannya baik, Insya Allah. Saya sebenarnya sentiasa avoid untuk tersentuh semula bab ni sebab saya rasa, pengalaman lepas sudah cukup memeritkan, terutamanya semasa melihat adik-adik di Jordan berperang sesama sendiri, tidak bertegur sapa dan macam-macam lagi insiden yang memalukan, semata-mata atas isu ini. Malah, semasa di UK dan Ireland pun keadaannya sama. Pendek kata, apabila bincang bab Wahabi ni, banyak sungguh masa terbuang. Sebab tu kalau nak bincang pun, saya cuba mencari sudut yang belum pernah saya sentuh.
Anyway, saya terkenang semasa di Ireland, saya ada seorang housemate berbangsa Perancis yang pada masa itu baru 9 bulan masuk Islam. Dia masuk Islam selepas beberapa ketika terpikat dengan falsafah, dan keindahan syair-syair Jalaluddin ar-Rumi. Jadi, orangnya agak ‘sufi’ dan jiwanya halus. Malang sekali, dalam usia Islamnya yang begitu muda, dia telah menerima suntikan maklumat supaya berhati-hati mempelajari Islam sebab jika tersilap, akan terjebak ke belenggu Wahabi!
Suatu hari, dia bersembang dengan saya secara personal. “Hasrizal, I have a good news but it is not that good!”. Hairan saya mendengarnya lalu saya bertanya, “what sort of statement is this? I can’t see what you are trying to tell me”. Katanya, “my wife is pregnant and I’m gonna be a daddy!” Wow, ini sepatutnya menjadi berita gembira. Saya tanya dia, kenapa pulak awak tak begitu gembira dengan berita ni? Dan jawapannya amat mengejutkan saya.
Dia gembira apabila mendapat tahu isterinya mengandung. Tetapi dia dihantui rasa bimbang hingga paranoid. Katanya, dia orang sufi, suka kepada zikir-zikir dan meminati Jalaluddin ar-Rumi. Dia takut apabila anaknya dah dewasa, anaknya akan jadi Wahabi dan mengkafirkan dia kerana sufinya dia! Ya Allah, rasa nak putus jantung saya dibuatnya.
“What are you talking about, mate? All these are nonsense!”, rasa nak mengamuk saya dibuatnya. Itulah kali pertama dia sebut tentang Wahabi kepada saya dan apabila saya siasat, rupa-rupanya dia telah diberikan berbelas keping artikel tentang bahaya Wahabi sedangkan, dia baru sahaja belajar bertatih di dalam ilmu Fardhu Ainnya.
Ya, itu satu kenangan silam saya tentang Wahabi.
ERA PRA KEMBARA ILMU
Semasa di Malaysia kira-kira pada tahun 1992, saya pernah membaca sebuah buku kecil di dalam Perpustakaan Tun Datu Haji Mustafa, iaitu perpustakaan sekolah saya (SMA Izzuddin Shah, Ipoh). Buku tu telah menyenaraikan Wahabi sebagai salah satu ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Emm, saya terima sahaja benda tu dan saya tidak nampak apa signifikasinya. Apabila saya berangkat ke Jordan dan memulakan pengajian, pada kepala saya mudah sahaja. Saya Syafie di dalam Fiqh, saya Asyairah di dalam Aqidah, Wahabi pula terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah. Itu semacam satu kepercayaan by default yang kita dapat dari Malaysia. Tetapi syukur, saya tak pernah kunci mana-mana pintu untuk menilai pandangan kedua.
Satu perkara yang saya sayang tentang Jordan (I can't believe that Im actually saying this J), ialah pengajian di Jordan bersifat comparative. Kita sentiasa digalakkan meluaskan kajian, pembacaan, membuat perbandingan pendapat, dan jika boleh, membuat Tarjih. Tetapi yang paling penting, Jordan mewajibkan pelajarnya hadir kelas. Kalau 6 kali tidak datang kelas, mahrum (diharamkan) masuk ke final exam. Jadi, apabila kita konsisten masuk kelas, pemikiran kita sentiasa dididik agar bermanhaj. Saya masih ingat, semasa di dalam subjek Hadith Ahkam, kami berbalah dengan pensyarah tentang sejauh mana argument para Fuqaha’ tentang masalah kewajipan suci daripada kedua-kedua hadath apabila hendak memegang mushaf al-Quran. Akhirnya kami sekelas diberi masa seminggu untuk pergi ke perpustakaan dan mengumpulkan semua dalil yang diguna pakai oleh ulama semua mazhab di dalam bab ini. Sama ada dalil al-Quran, Hadith, Usul Fiqh atau apa sahaja. Benda-benda seperti ini sangat baik. Ia mengajar kita untuk bersikap adil terhadap ilmu, Insya Allah. Syaratnya, anda ke kelas!
Sebahagian daripada tuntutan silibus pengajian di Jordan, saya dikehendaki membaca buku daripada pelbagai aliran. Saya baca kulit ke kulit buku Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah oleh Dr. Al-Buthi, saya baca Maqalaat al-Islamiyeen oleh Imam Abu al-Hasan Ashaari, dan dalam masa yang sama, saya juga dikehendaki membaca, memahami dan boleh membahaskan buku-buku karangan ulama yang dilabelkan Wahabi (walaupun mereka lahir, hidup dan mati beratus tahun sebelum kemunculan Muhammad bin Abdul Wahab) seperti Ibn Taimiyyah dengan bukunya Al-Ubudiyyah, Al-Fatwa Al-Humawiyah Al-Kubra dll, Ibn Qayyim, malah tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri. Hmm, dengan fikiran saya yang saya yakin ia waras, sedar, ada manhaj sedikit sebanyak, dan adil dalam menilai sesuatu, demi Allah, saya tidak nampak dari sudut manakah, kesemua buku yang saya sebutkan tadi (sama ada aliran Salaf mahu pun Khalaf), yang membolehkan saya menghukum Wahabi atau Ashaari atau Maturidi terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
KESIMPULAN YANG SIHAT
Saya amat selesa dengan nasihat Dr Abdullah Fawwaz semasa di Jordan. Katanya, “sama ada kamu memilih aliran Salaf, mahu pun Khalaf, mana-mana yang membawa kamu kepada beriman dengan Yakin kepada Allah, maka teruskan sahaja dengan manhaj itu!”. Saranan yang sama saya dapat daripada Hasan al-Banna dan ramai lagi tokoh yang berjiwa Da’ie.
Semasa di UK juga, jika saya diminta membentangkan kertas kerja berkaitan isu pertembungan Salaf dan Khalaf, saya suka mengambil pendekatan Hasan al-Banna yang sentiasa mengenengahkan titik-titik persamaan dan bukannya berkasar dengan perbezaan. Mudah-mudahan cara ini adalah cara paling baik, khususnya di dalam usaha pembaikan umat.
CINTA OTHMANIYYAH BENCI WAHABI?
Saya juga seorang pengkaji Sejarah Khilafah Othmaniyyah. Bukan kaji main-main, tapi sampai belajar Bahasa Turki, belajar Bahasa Othmaniyyah, belajar cara baca manuskrip Othmaniyyah, berpuluh kali berulang ke Turki, berkeluarga angkat bangsa Turki, tinggal serumah dengan kawan-kawan Turki, memasak masakan Turki, mengigau di dalam Bahasa Turki... cuma kahwin dengan orang Turki sahaja yang saya tidak buat! (isteri saya mesti berbangga dengan sambal belacannya). Saya cintakan Sejarah Othmaniyyah, saya serahkan diri kepada bidang ini secara bersungguh-sungguh terutamanya selepas melihat gambar Sultan Abdul Hamid II dibaling dengan batu oleh puak sekular di Istanbul. Terutamanya selepas saya bertemu dengan catatan Sultan Abdul Hamid II “I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so, I am certain that some foreign historians will do me justice”. Apabila saya banyak menghabiskan masa membaca karangan-karangan ulama di zaman mutakhir kerajaan Othmaniyyah, saya dibebankan dengan timbunan penulisan mereka yang mencela dan mencaci Muhammad bin Abdul Wahhab, khususnya melalui buku-buku yang diedarkan secara percuma oleh Ihlas Vakfi di Fatih, Istanbul.
Ya lazimnya, kalau mahu cinta kepada Othmaniyyah, perlulah bermusuh dengan Wahabi.
Tetapi saya bukan jenis begitu... dan saya puji Allah yang telah memimpin saya di dalam pencarian ilmu. Saya boleh cinta kepada Othmaniyyah tetapi cinta saya bukan buta. Saya bersedia untuk mengiktiraf sudut-sudut hitam Sejarah Othmaniyyah, termasuklah kelakuan-kelakuan buruk Gabenor Othmaniyyah yang bertugas di tanah Hijaz. Saya bersedia untuk menahan pedih hati dan jiwa menganalisa penyebaran fahaman Turanisma (nasionalis Turki) yang menular di seratus dua ratus tahun terakhir umur kerajaan Othmaniyyah.
Di dalam masa yang sama, saya terus membaca tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahab, dan akhirnya saya rasa adil untuk saya sebut “untuk sekumpulan manusia yang Aqidah dan Fikahnya sejahtera, membuat pembacaan politik yang salah, ia adalah sesuatu yang boleh diterima akal”. Pada saya, Muhammad bin Abdul Wahab serta pengikutnya, sama ada mahu dipanggil Wahabi atau Muwahhidin atau apa sahaja, mempunyai pegangan Aqidah dan Fiqh yang sejahtera. Tetapi ia bukan jaminan untuk mereka membuat bacaan politik dan pendekatan siasah yang betul. Maka permusuhan Muhammad bin Abdul Wahab dengan Khilafah Othmaniyyah, pada kiraan saya adalah soal ijtihad yang betul dari sudut menentang kemungkaran, tetapi salah dari segi tidak membezakan kelakuan gabenor Turki yang goblok dengan polisi sebenar Khilafah Othmaniyyah yang Islam. Saya tidak bersetuju dengan bentuk penentangan Muhammad bin Abdul Wahhab terhadap kerajaan Othmaniyyah, tetapi atas dasar hujah. Tidak sekali-kali bantahan saya di dalam persoalan pendekatan siasah Muhammad bin Abdul Wahhab, mengheret saya untuk menolak beliau dan gerakannya secara menyeluruh. Soal Aqidah dan Fiqh adalah satu isu, soal pendekatan siasah pula adalah isu yang lain. Jika approach Muhammad bin Abdul Wahhab dianggap keterlaluan oleh masyarakat Melayu yang 'kurang keras', maka approach tersebut boleh ditolak. Namun jangan sampai disesatkan Aqidah dan Fiqh mereka tanpa justifikasi yang adil.
SULTAN ABDUL HAMID II DAN GERAKAN WAHABI
Malah saya sendiri gembira apabila Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terpeinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkanlah untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang pada hari ketiga kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!”, jawab orang Badwi itu tadi.
Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya, “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab, “inilah dia syeikh aku, yang duduk dalam kubur ni!”
Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata, “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang dah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang temulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)
Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)
Ini adalah sebahagian daripada cacatan tentang Muhammad bin Abdul Wahhab yang saya baca dari sumber sejarah Othmaniyyah. Banyak lagi yang boleh dikaji, termasuklah di dalam koleksi nasihat Snouck Hurgronje kepada Pegawai-pegawai Belanda yang berpuluh jilid di Perpustakaan Yildiz Sarayi.
DAKWAAN DI AKHBAR UTUSAN
Akan tetapi, saya terkasima membaca tuduhan Dr Uthman Muhammadi bahawa gerakan Wahabi telah menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah. Saya tidak tahu apa motifnya. Apakah kenyataan ini mahu ‘memancing’ pihak kerajaan supaya menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang ke atas Wahabi di atas dasar Wahabi boleh menjatuhkan kerajaan BN sebagaimana Wahabi pernah menjatuhkan kerajaan Islam Khilafah Othmaniyyah? Pada saya, ini bukan suatu kenyataan yang ada asas. Asas sejarah tiada, asas politik pun tidak ada. Apa yang saya tahu ialah, antara gerakan yang benar-benar memainkan peranan menjatuhkan Khilafah Othmaniyyah adalah gerakan Ataturk. Dan ironinya, menurut Milner, gerakan inilah yang dikaji oleh Dato Onn Jaafar sehingga membawa kepada tercetusnya idea menubuhkan UMNO yang sekular lagi progresif. (Milner, A.C (1986), ‘ The Impact of the Turkish Revolution on Malaya, Archipel 31, Paris). Jadi, untuk mengaitkan Wahabi dengan ancaman anti establishment, saya sukar melihat sifirnya.
GOLONGAN YANG MEMUSUHI WAHABI
Namun yang saya pasti, golongan yang memusuhi Wahabi ini ada ramai. Pertamanya adalah Syiah. Mereka amat benci kepada Wahabi, mungkin bermula dengan kebencian mereka terhadap Ibn Taimiyah yang telah menulis kitab Minhaaj as-Sunnah yang telah meruntuhkan berhala kepercayaan mereka.
Keduanya, Ulama-ulama di Mekah yang juga merupakan tuan-tuan guru kepada pelajar Nusantara yang menyambung pengajian di Mekah. Pelajar ini pula pulang ke Kepulauan Melayu dan menjadi tok-tok guru di pusat-pusat pengajian pondok dan pesantren. Saya masih mengkaji apakah sebenarnya isu yang timbul di antara Mufti Mekah Sheikh Zaini Dahlan dengan Muhammad bin Abdul Wahab. Permusuhan antara mereka menyumbang kepada berpindahnya kecaman ke atas Wahabi ke Nusantara, generasi demi generasi.
Golongan ketiga yang memusuhi Wahabi adalah golongan Islam Liberal. Mungkin pendekatan Wahabi yang mengetatkan pemahaman teks al-Quran dan al-Hadith telah menyesakkan dada golongan Islam Liberal yang mahu melepaskan diri daripada cengkaman tradisi Islam yang mereka anggap sebagai 'penghalang kemajuan dan kebebasan beragama'.
Dan terkini, yang memusuhi Wahabi adalah Amerika dan kuncu-kuncunya apabila Wahabi dikaitkan sebagai fahaman anutan Osama bin Laden serta Abu Bakar Al-Bashir. Maka sifir mereka ialah:
Wahabi = Osama bin Laden = Abu Bakar al-Bashir = Nordin Mat Top = Dr Azahari = Terrorist!
Sifir ini memang luar biasa, namun hanya sehari selepas Dr Uthman Muhammadi mengungkapkan kebimbangannya terhadap Wahabi di Utusan, sifir ini muncul dengan panas lantas pelbagai spekulasi luar biasa timbul.
Entahlah, saya tidak suka untuk terjebak di dalam isu ini. Pada saya, jika anda adil terhadap ilmu, jika anda berfikiran terbuka, jika anda sudi belajar ilmu perbandingan mazhab dan aliran yang pelbagai, dan yang paling penting, jika anda rajin ke kelas sepanjang pengajian di universiti, Insya Allah anda boleh berlapang dada menerima Imam Syafie, Imam Abu al-Hasan Ashaari, Imam Maturidi, Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Al-Ghazali, Muhammad bin Abdul Wahhab, Rashid Ridha dan sesiapa sahaja yang pandangannya baik. Dan anda juga boleh berlapang dada memaafkan kelemahan-kelemahan mereka kerana yang Maksum hanyalah seorang ialah tuan punya makam ini, bak kata Imam Malik, sambil menunjukkan tangannya ke arah makam Rasulullah S.A.W.
PERLU DIPERJELASKAN
Adalah amat penting untuk saya jelaskan di sini, saya bukan berusaha mempertahankan Wahabi. Jika Wahabi itu dirujuk kepada aliran Saudi oriented, atau yang asyik membid'ahkan masyarakat, atau yang menuduh liar setiap pembangkang itu adalah neo-Khawarij, apatah lagi yang mencarik-carik daging dan kulit pejuang seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb, maka saya bukan sebahagian mereka. Apa yang saya cuba pertahankan di sini adalah soal hak kebenaran yang mesti ditunaikan. Sama ada kritikan itu ditujukan kepada Wahabi, Khalaf, Salaf atau sesiapa sahaja, ia mestilah dibuat berasaskan bukti yang sahih lagi teruji. Andaikata anda suka menjadi pendekar peluru tabur, maka saya tidak di medan anda!
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6)
Firman-Nya lagi: “Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra' 18 : 36)
Ya Allah, celikkan mata hatiku untuk melihat kebenaran di akhir zaman. Wassalamualaikum WBT.
ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/