Friday, August 21, 2009
Peluang ‘Naik Pangkat’
Thursday, August 13, 2009
~ Insan Terpilih
Aduhai hati yang selalu gundah gulana.. Mengapa perlu difikirkan kehidupan duniawimu. Sedangkan dunia itu sering menipumu. Bukankah kehidupan ini penuh dengan majazi? Tipu daya di sana sini? Maka, hendaklah engkau susun langkahmu penuh hati-hati, Ingatlah, syaitan itu sentiasa tidak mahu mengaku kalah dan tidak pernah putus asa. Setiap saat masanya adalah berharga. Tidak dibiar kosong tanpa menyesatkan adam dan hawa. Lantas, bagaimana engkau masih lagi memikirkan hal duniamu? Perbanyakkanlah berfikir, renung penuh bererti.. Bagaimana bakal kehidupanmu sewaktu mengadap Tuhan Rabbul ’Izzati..? Selamatkah dirimu di hari yang tiada pelindung melainkanNYA? Akan beratkah amal yang akan engkau bawa? Justeru, renungkanlah duhai diri yang lemah. Agar kehidupanmu di dunia sentiasa waspada.. Semoga, akan hadir dalam hatimu jiwa yang sensitif dengan dosa. Merasakan dosa itu besar sekalipun pada kesilapan sekecil zarah. Ketahuilah.. itulah antara ciri-ciri mereka yang aqrab dengan tuhanNya. Yang punya Ihsan dalam hatinya. Merasa kehadiran Allah dalam setiap sentuhan masa yang ada.. sekalipun mata tidak melihat, tetapi hati menyakini Allah MAHA MELIHAT.Untuk apa perlu dirisaukan, aduhai hati yang rawan.. sebuah kehilangan itu hanya secebis dugaan.. dari Tuhan sekalian alam.. Hilang bukan bererti tamatnya sebuah kehidupan, tetapi dengan kehilangan itulah darjatmu ditinggikan. Hairan? Mengapa perlu dihairankan, Allah itu Maha berkuasa, zat yang sempurna penuh keagungan. Lupakah duhai hati, Allah telah berjanji dalam kalamNya Izzati.. ”Adakah kamu mengaku beriman, sedangkan kamu belum diuji?” Maka, hadapilah ujian dengan sejuta kesabaran. Percayalah, yakinlah sepenuh hatimu.. Hanyasanya Allah bersama-sama mereka yang SABAR.
Aduhai hati yang penuh kesedihan.. Mengapa perlu ditangisi sebuah perpisahan? Bukankah semua kita akan pergi.. pulang kepangkuan Tuhan. Dialah yang menjadikan.. Dan padaNya jua segalanya akan dikembalikan. Lupakah engkau, hidup di dunia ini sekadar persinggahan. Yang kekal hanyalah amalan sebagai teman. Itulah teman dalam perjalanan menuju sebuah keabadian.. Maka, janganlah engkau lalaikan hatimu dengan kehidupan yang sementara ini. Janganlah engkau tangisi lagi sebuah perpisahan sementara.. akan tetapi, hadapkanlah wajahmu sentiasa kepada Allah.. Penuhkanlah jiwa dan hatimu dengan dzikrullah memuji kebesaranNya. Juga sibukkanlah hari-harimu dengan amalan makruf nahi mungkar , mengikut sunnah kekasihNya. Yakinlah, barangsiapa yang dihatinya ada Allah, dan mengutamakan Allah atas segala apa yang dilakukannya, Allah akan seiringkan pekerjaannya dengan pertolonganNya. Bekerja keraslah engkau untuk hari esokmu yang abadi. Berbekallah dengan amalan yang menguntungkanmu di sana nanti. Ingatlah, sebaik-baik bekalan adalah TAQWA.
Duhai diri yang lemah.. Kembalikanlah hatimu kepada Rab.. Kerana DIA lah pemilik segala yang engkau ‛miliki’.. Segalanya hanya pinjaman untuk menguji. Kentalkanlah semangat juangmu. Jadilah seperti syaidatina Aisyah, putrinya Syaidina Abu Bakr.. Walau fitnah mencalar maruah, Dia tetap Aisyah! Walau rumahtangganya di landa badai anggkara si munafiq durjana, tetap teguh pendiriannya, menggunung Tawakkalnya. Pada Allah sw.t dia berdoa, mengharap furqan agar tenggelam segala nista. Insafilah duhai diri yang lemah, Allah sengaja menguji sekeping hati yang kecil.. sebagai tukaran untuk mendapatkan habuan yang lebih besar kelak. Maka bersyukurlah.. bersyukurlah.. bersyukurlah kerana engkau insan terpilih.
Wednesday, August 5, 2009
NISFU SYA"BAN
Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.
a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban
Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi saw menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:
- Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar)). Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
- Diriwayatkan daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).
Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
- Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.
Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).
Ulamak kontemporari masa kini, Syiekh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).
Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
b) Hadis tentang kelebihan puasa yang khas pada hari Nisfu Sya’ban.
Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).
(Rujuk Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)
c) Hadis tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.
Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadis yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadis-hadis tersebut di sisi ulama hadis.
Ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadis-hadis palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.
~ Kasih Nan Abadi..
Dua... sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya ibu
Tiga... lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah
Empat... mudah kau ketemu
Perhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih
Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambut ku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa
Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat pedoman
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus kau renungkan

Tuesday, July 14, 2009
~ Rahsia membina rumahtangga muslim yang bahagia


Namun, apa yang dibimbangi ialah janganlah disebabkan apabila seseorang selepas alam berumahtangga membuatkan dirinya semakin jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Semasa bujangnya beliau terkenal dengan kuat sembahyang sunat, puasa sunat, berzikir dan bersedekah telah berubah. Kehidupannya berubah menjadi seorang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri, bekerja keras untuk mengumpul harta dan mengejar kemewahan semata-mata untuk keluarga. Alangkah ruginya hidup yang fana ini sekiranya apabila memasuki gerbang rumahtangga itu menjadikan dirinya semakin jauh dari Allah SWT. Titik tolak kebahagiaan rumahtangga adalah bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Monday, July 13, 2009
Ijtimak Tabligh Sepang
Tidak pasti perasaan saya time baca post ni dalam fikrah.net. Tapi yang saya pasti, seakan ada bisikan kecil yang minta saya untuk post entri ni dalam blog jejak adDin.. Apa-apa 'rasa' pun, moga-moga ada ler satu 'rasa' yang dapat untuk kita sama-sama koreksi diri. InsyaAllah.. bi iznillah.. ~(Membaca pon ader rase ker? ^_^~
Posted by : Ibnu Zubair
Posted: Mon Jul 13, 2009 12:46 pm
Sumber :
http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/p=118267.html#118267
Thursday, July 9, 2009
~ Kasihku kerana Rabbi
SubhanAllah walhamdulillah.. Segala puji dan puja hanya selayaknya bagi Allah swt. Dialah yang Maha Agung.. Pemilik zat yang Maha Sempurna. Sesungguhnya, padaNya kita datang dan padaNya jua kita akan kembali... Salam kasih dan rindu padamu ya Rasulullah saw. Insan mustofa kekasih Allah.. Salam mahabbah untuknya Ali Muhammad, para sahabat seterusnya mujahidin fi sabilillah.. Semoga diri kita tergolong bersama-sama golongan yang memperjuangkan agamaNya. Tetap istiqamah atas landasanNya.. Menegakkah kalimahNya dan sunnah baginda saw di dalam kehidupan seharian kita. Allahumma amien..Sahabatku yang dikasihi Allah...
Untuk kesekian kalinya, dalam ruangan ini, diriku mengutusi.. Menyusun tinta bermadah sepi. Dengan rahmatNya, moga titipan ini menusuk terus ke dalam hati. Tujuanku hanyalah satu.. Kerana kasihku kepadamu.. biasan kasih pada kekasihNya. Sabda baginda saw:-
“ Tidak akan sempurna sebahagian dari iman kamu selagi tidak mengasihi saudaranya melebihi kasihnya kepada dirinya sendiri”
Sahabatku..
Dunia ini hanyalah ladang yang terbentang luas. Kita hanyalah pengembara menuju destinasi abadi. Sedang segala isi dunia hanyalah sebagai pinjaman semata. Begitulah ungkapan yang selalu kita dengar. Lantas, andai semua ini adalah sebagai pinjaman... bagaimana pula nantinya keadaan kita apabila tiba saat segalanya perlu dipulangkan kembali kepada pemilik sebenar? Mampukah kaki berdiri megah mempersembahkan segala yang kita pinjam didepanNya kelak..? Ataukah tesungkur longlai dihadapanNya Al-Khaliq? Yakinkah diri kita menjadi orang yang berada di antara golongan yang kanan? Ataukah menjadi orang yang gementar hatinya lantaran tergolong di antara golongan yang kiri? Allah berfirman dalam kitabNya yang furqan : -
“..Iaitu golongan kanan (orang-orang yang menerima buku catatan amal mereka dengan tangan kanan), alangkah mulianya golongan itu. Dan golongan kiri, (orang-orang yang menerima buku catatan amal mereka dengan tangan kiri), alangkah sengsaranya golongan kiri itu ..” ~ Al-Waqiah: 8-9~
Sahabatku yang ku hormati...
Perjalanan hidup kita hanya sebentar cuma. Kita boleh menghitung usia yang telah beranjak meninggalkan kita, namun kita tidak dapat menghitung berapa banyak lagikah usia yang tinggal. Entah, mungkin esok lusa kita akan menghadap empunya abadi pemilik diri kita.. Diri, jasad dan segala yang ada hanyalah pinjaman dan amanah yang akan dipertanggungjawabkan.
Di saat menanti mahkamahNya, segala bekalan semasa hidup kita akan diperhitungkan. Akan dihisab timbanganya. Namun, cukupkah bekalan amal yang akan kita bawa bersama? Banyakkah amal soleh yang akan kita persembahkan kepadaNya? Dan apakah kita yakin segala amal soleh kita di dunia akan diterima olehNya? Hatta, Syaidina Umar r.a sendiri, antara 10 orang di kalangan para sahabat yang tercatat namanya sebagai penghuni syurga merasa gelisah, gusar andai dirinya seorang munafiq dan dicampakkan ke dalam api neraka. Sedangkan kita?! Yakinkah amal soleh yang dibawa dapat menyelamatkan diri dari dicampakkan ke dalam api yang marak menyala?!. Tepuk dada, tanyalah iman kita. Bagaimana persiapan dan persediaan kita.. sudahkah sempurna?
Sahabatku yang disayangi fillah...
Dirimu terlalu istimewa. Ciptaanmu terlalu indah. Dalam kelembutanmu itu ada ketegasan. Dalam keayuanmu terselit keberanian. Sekalipun hatimu serapuh kaca, namun bukan bermakna dirimu lemah. Tetapi itu bukti hatimu, sentuhanmu penuh kasih sayang.. Ketahuilah, doa seorang yang sarat dihatinya dengan kasih sayang lebih makbul dari hati yang keras. Lupakah engkau, kerana tangan yang mengayun buaian itulah yang bisa menggoncangkan dunia..? Itulah tangan yang penuh kasih sayang.. Di situlah buktinya keadilan tuhan.. Sentisakanlah mempersiapkan dirimu dengan amal-amal yang soleh. Yang hatiya tidak sunyi daripada alunan puji- pujian kepada tuhannya. Yang lidahnya lembut memuji Allah swt setiap saat dan ketika. Di situ pula buktinya dirimu sebagai seorang hamba.. Semoga dirimu kelak tergolong bersama mereka yang berada di barisan kanan..
Sahabatku muslimah..
Ketahuilah, bahawasanya dirimu itu adalah fitnah. Sesungguhnya fitnah yang paling besar adalah wanita. Tatkala kakimu melangkah keluar dari tempatmu.. panahan syaitan itu sentiasa berada dipundakmu. Dirimu sentiasa menjadi perhatian. Maka perelokkanlah lakumu. Jagalah penampilan muslimahmu. Peliharalah auratmu dan nampakkanlah hanya pada yang disyarakkan, iaitu hanya muka dan tapak tangan. Ingatlah sahabatku.. dalam dirimu itu ada satu “amanah” yang wajib engkau jaga. Tika mana terjaganya “amanah” itu, maka terjagalah juga dirimu dan segala perhiasannya.. Lupanya engkau menjaganya, maka samalah juanya engkau cuba meruntuhkannya/mengabaikannya. Natijahnya, jadilah pula engkau umpama bunga jalanan yang mudah dihirup madunya, dipetik sesuka hati oleh tangan-tangan kemungkaran. Itulah Islam sebagai cara hidup yang halus seni pentarbiyahannya. Cara hidup yang terus dari Allah swt untuk hambaNya.
Sahabatku..
Kerana Islamlah dirimu kembali terarah. Kerana Islamlah juga, dirimu yang hina di zaman jahiliyyah terangkat mulia.. Islam telah menaikkan darjatmu sama tinggi dengan kaum adam.. Hanya dalam beberapa aspek hidup, adam mendahuluimu.. dalam urusan nafkah, talak dan faraid umpamanya. Hakikatnya, yang membezakan kita di sisi Allah swt adalah sejauh mana tinggi rendahnya ketaqwaannya. Di situlah letaknya nilaian tuhan. Bukti keadilanNya kepada hamba-hambaNya. FirmanNya:-
“ Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu sisi Allah swt ialah orang-orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Telti”
(QS 49:13)
““Sesungguhnya ALLAH tidak memandang paras rupa kamu, keturunan kamu & harta-harta kamu, tetapi ALLAH memandang pada HATI-HATI & AMALAN-AMALAN kamu.”
(Hadith Riwayat at-Tabrani)
Justeru, tutuplah auratmu dalam erti kata yang sebenar. Tutup dan peliharalah aurat itu seperti apa yang Allah inginkan, bukan seperti yang manusia nilaikan. Tutup tetapi masih memperlihatkan bentuk dan warna kulit, bukanlah mengikut kehendaknya Allah swt. Apatah lagi tutup yang hanya sekadar untuk berfesyen. Yang ada ketikanya, dirimu sopan bertudung litup. Dan di suatu masa yang lain, engkau memperlihatkan perhiasan dirimu pada bukan muhrimmu yang dihalalkan Allah untuk melihatnya..
Sahabatku yang dirahmati Allah...
Mantapkanlah niatmu, hanyasanya menutup aurat itu adalah semata-mata kerana Allah swt. Suatu tuntutan yang wajib engkau laksanakan. Setelah itu, fahamilah pula ‘menutup’ yang bagaimana yang telah digariskanNya. Laksanakanlah mengikut mahunya Allah, bukan mahunya manusia. Sesungguhnya, menutup aurat itu adalah antara wasilah untuk engkau menjaga iman dan dirimu. Yakinlah pada Allah, tuntutan ini bukan tanda driskriminasiNya.. tapi adalah tanda kasih sayang Allah. Bukti keagunganNya. Dia Maha Mengetahui yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
“ Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
(QS 1:30)
“Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu , padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (QS1:216)
Sahabatku yang dikasihi Allah..
Diriku juga serba kekurangan.. masih lagi bertatih dalam mencari kesempurnaan. Dalam pencarian ini, diriku ingin menghulur tangan.. mengajakmu untuk turut sama berusaha menjadi muslimah yang solehah, mukminah yang bertaqwa. Semoga usaha yang kecil ini mendapat Inayah dan rahmatNya Allah swt. Allahumma amien..
.jpg)