Tuesday, August 9, 2011

~ Rindu dan Sayang...


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Assalamu'alaikumwrt wbt (◕‿◕✿)



Subhanallah wal hamdulillah... Syukur pada Allah SWT yang memberi nikmat. Hari ini sudah 9 hari kita berpuasa. Bagi yang dah 'berhari raya' selamat beramal ana ucapkan... Sekalipun Allah memberi cuti, tapi Allah tetap Maha Adil. InsyaALLAH pasti ada amalan lain lagi yang dapat dilakukan.. Jangan biarkan diri tanpa pengabdian kepada Allah SWT.

Untuk hari ini, ana ingin kongsikan apa yang ana baca tadi... Puisi kreatif dari web iluvislam. Berkali-kali ana baca, dan.... sedikit sebanyak sesuai dengan jiwa ana kala ini.... ^^,). Apapun, mudah-mudahan mujahadah ini istiqamah dan sentiasa dipermudahkan Allah.. Sungguh penantian itu suatu yang menyeksakan jiwa.. Namun, tatkala penantian itu disandarkan atas Taqwa demi menghindarkan sesuatu yang bukan halal pada waktunya. ana akui... terlalu banyak kebaikan dan hikmah yang tersirat. Benarlah, mujahadah ini memelihara diri kita daripada terus berada di dalam kemurkaanNya..


Terpana Jiwa..
Terkedu seketika..
Bukan kerana terpaku dengan apa yang ada
Bukan kerana alpa pada yang di hadapan mata
Namun kelu lidah berbicara
Kalam terakhirmu penutup tingkah.

Kerana itulah yang terbaik sebagai pemelihara
Demi meraih redha pada jalinan yang ada
Mungkin sukar dirungkai perasaan di jiwa
Namun percayalah...
Sekali pun pahit jiwa merasa
Namun hikmahnya terasa tenang bahagia
Mungkin kecil pada pandangan insan biasa
Tetapi tidak buat dirimu jua diriku yang merasa..

Usah dirimu menilai tanpa mengenali
Usah jua dirimu mengagak tanpa merasai
Jangan kau berhenti tanpa mencari
Jangan kau menjauh tanpa membuka hati
Jangan kau menyangka perkara yang belum terjadi

Bukan aku mementingkan hati
Jauh sekali berkecil hati
Cuma satu yang ku pinta dari diri
Izinkan aku mengenali
Izinkan aku untuk merapati
Izinkan aku untuk menyayangi...
Mengintai dirimu di kamar hati..

Perasaan itu bukanlah ku pinta mahupun paksa
Kerana ia anugerah dari yang Esa
Buat kau dan aku, untuk melihat dan menguji hamba-Nya
Ke mana dan bagaimana menggunakannya..

Ikhlaskan hati, tenangkan jiwamu
Nescaya Syurga-Nya setia menantimu
Dari segenap kehidupan yang lalu
Jadikan pengajaran untuk dirimu

Bisikkan dihati
Setiap kesusahan pasti kesenangan mengiringi
Itulah Janji Ilahi..
Tiada ragu segalanya pasti...


Saat dirimu berduka
Usah kau sangka itu adalah penghujung dunia
Yakinlah dengan Allah yang Esa
Sesungguhnya Allah itu tidaklah buta

Pesankan diriku...
sesungguhnya Allah sentiasa menyayangimu
Walau seberat mana ujian yang dibekal padamu
Tidak pernah sedetik pun dari masa lalu
Allah meninggalkan dirimu sendiri berlagu sendu
Kerana itu tandanya Allah merasa rindu
Merindui dan mencintaimu setiap waktu..


Edit : fatin_jamilah@yahoo.com


"Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan setiap langkah mujahadah ini sentiasa dalam redhaMu. Didiklah hati ini dan Engkau ingatkanlah hati ini agar sentiasa sabar dan tabah dalam menanti nikmatMU... Teguhkan iman ini agar sentiasa terus dalam landasanMu. Semoga akhir destinasi penantian ini berada dalam KeredhaanMu "

Sunday, August 7, 2011

~ Haidh Dan Puasa


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Assalamu'alaikumwrt wbt (◕‿◕✿)

Alhamdulillah 'ala kulli hal... Allah masih berikan nikmat sihat.. dan masa yang lapang. Apa yang pasti, syukur dan tahmid atas nikmat Iman dan Islam yang Allah berikan kepada kita. Alhamdulillah....
Bersempena dengan bulan mulia ini, pastinya ada di kalangan kaum muslimah yang musykil tentang beberapa perkara. Khususnya yang berkaitan dengan hal-hal berkaitan masalah wanita. Justeru, InsyaAllah, di kesempatan ini, ana ingin kongsikan satu tajuk dari fasal ke-9 dari buku "Feqh Wanita Moden" sebuah karya penyuci jiwa penyempurna ibadah. Buku soal jawab ini telah dikarang oleh Ustaz Mohd Khairi Bin Zainuddin dan saudaranya Ustaz Mohd Nazri Bin Zainuddin bersama usrah thaqafi yang lain terdiri daripada Ustaz Abdul Hadi bin Mohd Isa dan Ustaz Mohd Fuad Bin Mohd. Isa..
Semoga perkongsian dari buku ini dapat memberi manfaat kepada seluruh kaum muslimah, insyaAllah.. Selamat menelaah.. ^^,)

FASAL 9 : HAID & PUASA

Apakah hukum perempuan haidh berpuasa?

Haram kepada kaum perempuan yang berhaid berpuasa sama ada puasa fardhu atau pun sunat dan puasanya tidak sah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :-

"Bukankah ketika dia kedatangan haidh, dia tidak sembahyang dan berpuasa"
-Riwayat Bukhari dan Muslim


Ijma' Ulama menetapkan bahawa haram kepada perempuan yang berhaidh berpuasa sepanjang tempoh haidhnya.

Bolehkah perempuan yang haid menahan lapar dengan tujuan berpuasa?
Perempuan yang haidh yang menahan lapar dengan tujuan berpuasa adalah berdosa, tetapi tidak makan bukan tujuan berpuasa adalah tidak mengapa. Ini adalah pendapat al-Auza'ie, Malik, al-Thauri dan Abu Thaur.


Adakah perempuan wajib mengqada'kan puasanya?

Ya, dia wajib mengqada'kan puasanya berdasarkan hadis Aisyah r.anha yang menyebutkan :-
"فنؤمر بقضاء ولا نؤمر بقضاء الصلاة"
Yang bermaksud : - Maka kami disuruh supaya menggada'kan puasa tetapi tidak disuruh mengqada' solat.

Apakah hikmah puasa wajib diqada'kan sedangkan solat tidak wajib diqada'kan?

Ibn. al-Qayyim r.a menerangkan hikmah kewajipan mengqada'kan puasa terhadap perempuan yang haidh dan tidak diwajibkan pula mengqada'kan puasa. Beliau berkata :-
"Kewajiban berpuasa ke atas perempuan berhaidh tanpa mewajibkan solat (qadha') menunjukkan keindahan syariat Islam yang penuh hikmah yang mengutamakan kemaslahatan umat manusia yang mukallaf."
Beliau mengatakan lagi, " Solat yang dilakukan pada hari-hari suci memadai untuk menampung semua solat yang ditinggalkan semasa hari-hari haidh. Oleh itu kemaslahatan solat pada hari-hari suci terhasil untuknya kerana dilakukan berulang-ulang pada setiap hari .
Ini berlaikan dengan puasa yang tidak dilakukan berulang-ulang setiap hari, ia hanya dilakukan pada satu bulan sahaja di dalam setahun. Jika digugurkan kewajipan puasa dengan sebab haidh maka tidak ada cara lain untuk mendapatkan ibadat yang sebanding dengannya, dan hilanglah kemaslahatan puasa yang merupakan kesempurnaan rahmat Allah yang dapat diperolehi"
Begitu juga jika diwajibkan mengqada'kan solat yang banyak tertinggal akan mendatangkan kesusahan kerana haidh akan datang pada setiap bulan, berlainan dengan puasa hanya diwajibkan sebulan di dalam tempoh setahun. Semua ini adalah kemudahan yang Allah S.W.T kurniakan kepada hamba-hambaNya.


Bagaimanakah jika haidh datang ketika sedang berpuasa?
Perempuan yang datang haidh ketika sedang berpuasa maka batal puasanya walaupun ketika waktu hampir tenggelamnya matahari. Puasanya batal jika darah yang keluar telah sampai pada zahir kemaluannya. Jika ia hanya merasakan peralihan kedatangan haidh di saat hampir tenggelam matahari dan darah itu hanya keluar setelah matahari tenggelam, maka puasanya sah. Hal ini kerana darah yang masih terdapat di bahagian dalam rongga tidak ada hukum baginya.
Berdasarkan peristiwa nabi S.A.W ditanya mengenai perempuan yang bermimpi, adakah ia wajib mandi, lalu baginda menjawab yang dia wajib mandi sekiranya dia melihat adanya air.
Baginda S.A.W mengaitkan hukum wajib mandi dengan melihat adanya air mani bukan dengan peralihan air mani itu dari dalam dirinya. Begitulah juga halnya dengan haidh. Maka hukumnya tidak sabit kecuali setelah melihat ianya betul-betul keluar bukan semata-mata dengan peralihan dari dalam.


Bolehkah berpuasa jika haidhnya berhenti selepasa terbit fajar?
Ketika terbit fajar perempuan masih berhaidh maka puasanya pada hari tiu tidak sah. Begitu juga jika haidhnya tamat sebaik sahaja terbit fajar kerana ketika waktu itu dia tidak diperintahkan untuk berpuasa.
Hal ini berdasarkan hadis Aisyah r.a:
"كان النبي صلى الله عليه وسلام يصبح جنبا من جماع غير احتلا ثم يصوم في رمضان"
Yang bermaksud : " Adalah Nabi S.A.W berpagi-pagi dalam keadaan berjunub kerana melakukan persetubuhan bukannya kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada bulan Ramadhan. " - Riwayat al-Bukhari & Muslim


Adakah perempuan haidh yang meninggalkan puasa mendapat pahala?
Perempuan haidh yang meninggalkan puasa diberikan ganjaran pahala kerana menjunjung perintah Allah S.W.T agar tida berpuasa semasa haidnya.



Adakah haidh memutuskan urutan puasa kifarat atau nazar?

Haid tidak menyebabkan terputusnya urutan hari berpuasa bagi puasa kifarat dan nazar. Oleh itu, jika seorang perempuan bernazar untuk berpuasa dua bulan berturut-turut atau ia wajib membayar kifarat dengan berpuasa secara berturut-turut, kemudian di pertengahn puasanya ia didatangi haidh, maka dia hanya perlu menyambung baki puasa yang tinggal setelah suci daripada haidnya dan ia tidak wajib memulakan semula puasa yang baru.


Seorang perempuan telah berhenti haidh pada hari ke 7, lalu menunaikan puasa Ramadhan. Setelah berlalu 3 hari suci, pada hari yang ke 10 terdapat tanda-tanda darah haidh berwarna perang. Adakah puasa itu sah atau perlu mengqada'kannya?

Menurut mazhab as-Syafi'e, tempoh haidh yang paling kurang bagi sesetengah wanita ialah sehari semalam, tempoh kebiasaan ialah tujuh hari tujuh malam dan yang paling lama ialah lima belas sehari semalam.
Dalam masalah ini, jika tempoh tanda-tanda datang haidh selepas itu berlalu dalam hari yang jika dicampurkan dengan tujuh hari pertama haidh masih belum cukup tempoh haidh yang paling panjang (15 hari), maka hukumnya tanda-tanda keadaan yang kedua itu dikira sebagai haidh juga.
Ini bermakna puasa yang dilakukan tidak sah kerana tempoh itu bukanlah tempoh suci dalam ertikata yang sebenarnya dan dia dikehendaki menggantikannya pada hari-hari lain.


Adakah perempuan haidh yang meninggalkan puasa dikenakan fidyah?
Perempuan yang meninggalkan puasa kerana haidh atau nifas tidak dikenakan sebarang fidhyah. Dia hanya diwajibkan mengaqda'kan puasanya yang tertinggal sahaja. Adapun pandangan ulama' mengenai fidyah yang dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa adalah seperti berikut:-
1- Para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak berdaya langsung mengerjakan puasa adalah wajib membayar fidyah. Seperti orang tua yang lemah dan sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Ibnu Abbas menjelaskan bahwa perkara ini adalah satu keringanan daripada Allah S.W.T
2- Para Ulama' juga bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak mampu berpuasa kerana menderita dengan sakit yang ada harapan untuk sembuh juga wajib membayar fidyah.
Hal ini berdasarkan firman Allah Ta'ala yang bermaksud :-
" Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. "
3- Bagi perempuan yang hamil atau menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan anaknya, dia dibenarkan berbuka. Menurut jumhur ulama' dia diwajibkan mengqada'kan puasanya serta membayar fidyah untuk setiap puasa yang ditinggalkannya..Ulama' Hanafi berpendapat sebaliknya, di mana perempuan di atas tidak pelu fidyah.
Jika perempuan yang hamil khuatirkan keselamatan diri sendiri, dia hanya diwajibkan qadha' sahaja tanpa fidyah. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama'.


Apakah dalil, hukum dan bayaran fidyah?
Dalil fidyah ialah firman Allah Ta'ala :-
" Dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dsbnya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." - Quran surah Al-Baqarah:184
Hukum fidyah adalah wajib berdasarkan firman Allah di atas. Adapun jumlah yang wajib dibayar menurut jumhur ulama' adalah sebanyak satu cupak makanan asasi di negeri tempatnya tinggal bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.


Adakah perempuan yang lewat mengqadha'kan puasa sehingga Ramadhan berikutnya dikenakan fidyah?
Jumhur ulama' menyatakan bahawa perempuan yang lewat mengqada'kan puasa Ramadhan sehingga datang Ramadhan berikutnya wajib membayar fiddyah. Akan tetapi jika kelewatan mengqada'kan puasa itu kerana uzur atau sakit maka tidak diwajibkan membayar fidyah.
Menurut Imam Hanafi pula, mereka tidak dikenakan sebarang fidyah kerana memadai dengan mengqadha'kan puasa sahaja.


Adakah fidyah akan bertambah dengan pertambahan tahun?
Menurut pendapat mazhab terkuat di dalam mazhab Syafi'e bahawa bayaran fidyah akan bertambah dengan pertambahan tahun. Hujah mereka ialah kewajipan yang berbentuk harta tida boleh dihimpunkan sekaligus.
Manakala mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat tidak berganda dengan pertambahan tahun. Mereka menyamakannya dengan hukuman hudud yang dikenakan sekaligus.

Alhamdulillah usai dah.. semoga apa yang dikongsikan ini sedikit sebanyak dapat merungkaikan kekeliruan dan permasalahan sahabat-sahabat muslimah di luar sana. Walaupun mungkin ada di antara perkongsian dari soal jawab di atas sepertinya perkara yang mudah dan selalu diketengahkan oleh sesetengah dari kita, namun ana yakin ada juga di antara kita yang masih mencari jawapan bagi persoalan mereka...

Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat dimanfaatkan bersama. InsyaAllah.. Akhirulkalam selamat beramal dari ana.. salam perjuangan dan salam Ramadhan yang mulia. Fi hifzillah (^_^)v




Faqirah 'indallah
Pusat Latihan Dakwah Keningau
07 Ogos 2011 / 07 Ramadhan 1432 H





Thursday, August 4, 2011

~ Kembara Musafir

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Assalamu'alaikum wrt wbt (◕‿◕✿)

Subhanallah walhamdulillah wallahu Akhbar.. Maha SempurnaNya zat Allah yang Maha Esa.. Segala puji dan tahmid hanya selayaknya untukNya. Tuhan sekalian 'alam...

Syukru lillah atas kurniaan nikmat usia, kesihatan dan segala kebaikan yang Allah limpahkan selama hidup di dunia ini.. Sungguh kita hanyalah musafir lalu yang menumpang teduh di bawah Rahmat Allah.. sangat faqir tidak punya apa.. yang ada di tangan hanyalah sekadar pinjaman semata.. Pemiliknya hanya Yang Maha Hidup, jua Maha Kaya.. Allahu Rabbuna wa nahnu 'abduhu.. Justeru, sama-samalah kita berdoa, semoga Allah istiqamahkan langkah kita di dalam nikmat iman dan islam.... sentiasa dan setiap saat yang ada. InsyaAllah wa amien..

Setelah sekian lama tidak menulis, terasa kosong, sepi blog jejak_addin ni... Tidak banyak yang dapat dikongsikan rupanya.. Selama hampir setahun lebih blog ana menyepi tanpa kata, alhamdulillah saat ini Allah berikan kekuatan dan kemudahan untuk ana mengisi ruangan perkongsian dalam blog ni..

Selama setahun menyepi, terlalu banyak 'hadiah Allah' yang menguji.. Alhamdulillah, ana yakini setiap apa yang menguji bukanlah untuk menjadikan seseorang hamba itu semakin jauh dari Allah.. Bukan jua menjadikan seseorang itu terasa diri dizalimi.. Sungguh, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.. Ana syukuri segala nikmatnya, walaupun selama setahun lebih yang lalu terlalu banyak perkara yang menguji hati.. dengan Rahmat dan KasihNya, ana temui mutiara hikmah dari setiap ujian yang diberi.. Maha Sucinya Allah yang mentadbir dan mentaqdirkan setiap sesuatu.. Dalam ujian itu sebenarnya tanda Allah berikan perhatian pada diri kita.. Bukti kasih pada hambaNya. Maka, apa lagi yang layak kita berikan atas pemberian nikmat ini melainkan rasa syukur dan berserah diri..

Ya.. serahkan segala urusan kita kepada Allah... PadaNyalah sebaik-baik tempat kita berserah. Firman Allah di dalam Al-Quran ada merakamkan,

" .. Barangsiapa menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, dan dia berbuat baik, dia mendapat pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati"
Al-Baqarah : 112


Indahnya kalam Allah.. penuh dengan didikan dan tarbiyah tatkala direnung sebaiknya. Tikamana diuji dengan kesusahan dan kepayahan, maka jalan penyelesaiannya adalah kembali kepada Allah. Sesungguhnya segala apa yang berlaku pada diri kita adalah datangnya dari Allah. Maka kita kembalikan jua segala urusan itu kepada Allah. Allah jualah sebaik-baik penolong dan pemelihara.. InsyaAllah, segalanya akan kita lalui dengan tenang dalam bimbingan dan hidayahNya lantaran penyerahan dan sandaran kita pada zat yang Maha Sempurna.



Kepulangan yang dinanti

Alhamdulillah 'ala kulli hal, setelah sekian lama merantau di Kuala Lumpur, kini saat yang telah lama ana nantikan telah tiba.. Tanggal 27hb Mac 2011 (Ahad), penerbangan 2jam 45 minit dari Kuala Lumpur - Sandakan kemudian bersambung semula selama 2jam 30 minit dari Sandakan - Lahad Datu menjadi sebahagian dari tarikh yang menggembirakan dan menyedihkan... Gembira sebab dapat kembali ke bumi kelahiran, sedih sebab terpaksa meninggalkan insan tersayang. Anak buah kesayangan Wan Nadratus Sakinah, penyejuk mata dan penghibur ana.




Saat berada di dalam perut ERL Express.... tidak dapat ditahan hujan yang turun. Terasa pedih hati.... Terbayang-bayang tidur nyenyak anak buah yang dikasihi, Wan Ahmad Sufian.. Ana hanya sempat mengusap kepala si manja. Tidak sampai hati mengejutkan si comel Ahmad.. :'(

"Ya Allah.. hati ini ada kasih... Hati ini sangat rindu.. permudahkanlah pertemuan antara kami. Semoga sentuhan kasih ini terlerai jua... "


Pusat Latihan Dakwah Keningau (PLDK)


Manusia mentadbir, namun Allah jualah yang mentadbir dan mentaqdirkan sesuatu. Alhamdulillah atas nikmat yang Allah berikan. Setelah sekian lama ingin kembali ke tanah air sendiri.. Kini, Allah berikan kesempatan untuk ana berkhidmat di Bumi Sabah, di bawah naungan Allah.. (replaced : Sabah di bawah bayu.. he3). Baru 4 bulan ana berkhidmat namun banyak perkara yang telah 'mengajar' ana di sini..


Berkat RahmatNya Allah, ana mula mencari diri sendiri. 'Keberanian & kekuatan' dahulu semasa berada di hadapan orang juga dalam membina keyakinan saat berkomunikasi dengan orang lain. Syukur.. syukur.. syukur.. Allah berikan kemudahan dan kefahaman pada yang mendengar.

Di PLDK, Allah berikan ana peluang untuk mengajar subjek Tilawah Al-Quran, Pengajian Tafsir (Tafsir Ahkam), Aqidah, Bahasa Arab dan Usrah (ko-kurikulum). Sekalipun semasa pengajian dahulu ana lebih menjurus kepada lugho, Alhamdulillah, ana semakin jatuh cinta dengan subjek Aqidah dan Tafsir. Dalam masa ana mengajar, ana juga adalah seorang pelajar.. Secara tidak lansung ana terdorong untuk lebih mendalami ilmu-ilmu yang menyentuh tentang Ilmu Tauhid & Ayat-ayat Ahkam... Belajar dengan sahabat2 yang ahlinya, cari maklumat dan buat perbincangan dan bertanya pada pensyarah-pensyarah yang lebih berpengalaman.

Syukur dengan apa yang Allah berikan. Terlalu banyak kebaikan yang singgah menghuni hari-hari ana yang berlalu walau adakalanya 'kebaikan' itu menyempitkan perasaan dan melukakan, namun terasa itulah sebenarnya kebaikan yang Allah berikan.. hadiah dari Allah yang cukup berharga tatkala dihayati.. Teringat dengan satu pepatah :-

" Adakalanya kesusahan dan kepayahan hidup itu tanda Allah kasih kepadamu. Allah rindu mendengar luahan hati dan bisikan adumu.. Maka, mengadulah pada Allah.. serulah namaNya.. Allah ingin engkau dekat padaNya"..

MasyaAllah.. betapa hidup ini penuh dengan yang tersirat.. Hanya dapat dirasai dengan hati.. Sesuatu yang tidak dapat dilihat, hatilah yang menjadi asasnya jika ingin mendapatkannya. InsyaAllah.. semoga Allah berikan kita hati yang bersih yang sentiasa rindu dengan sentuhan kasih sayang Rabbi.. Itulah Qalbun Salim.




Debu-debu Dosa


Sebelum ana mengundur diri, sama-sama kita hayati lagu dari Hijjaz ni... Sangat-sangat menenangkan dan memberi infak membina pada diri ana. Mudahan-mudahan dengan perkongsian ini, dapat memberi kebaikan kepada diri bersama.. InsyaAllah wa amien..




Ke arah mana halanya
Bagi insan yang terleka
Mengejar nikmat dunia
Bagaikan hidup selamanya
Tak peduli dosa noda
Seksa azab neraka
Hidup jauh dari rahmatNya

Terpedaya pada dunia
Pentas ciptaan manusia
Terlupa pada segala
Mengikut nafsu semata
Membiar syaitan beraja
Di hati dan juga jiwa
Mengejar dunia penuh debu dosa

Teguhkanlah iman dalam diri
Moga dikau akan merasai
Betapa indah nikmat Ilahi
Dan yakin kau akan dirahmati

Harus kau percaya dengan pasti
Dunia tidak kekal abadi
Hanya menguji cekalnya hati
Sebagai khalifah yang sejati

Tak perlu kau meragui
Andai teguh keimananmu
Pasti bahagia menanti
Di akhirat yang abadi


Akhirulkalam, Semoga Allah berikan kemudahan dan bimbingan dalam setiap urusan.. :). Di kesempatan ini juga, ana ucapkan selamat menunaikan ibadah puasa.. Ramadhan Kareem bulan tarbiyah. Semoga kita semua tergolong bersama-sama mereka yang berjaya dan sentiasa dalam redha jua maghfirahNya. Moga bertambah iman, berganda amalan dan meraih Ketaqwaan.. Allahumma amien. Fi hifzillah (^_^)v





Faqirah 'inda Allah
Pusat Latihan Dakwah Keningau
04 Ogos 2011 / 04 Ramadhan 1432H

Friday, January 22, 2010

Jangan Ditangisi Apa Yang Bukan Milikmu ~


Dalam meniti liku-liku kehidupan ini, kita seringkali berasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas dari genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima.. dan akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan.

Hidup ini ibarat sebuah belantara. Tempat kita mengejar segala keinginan dan sememangnya manusia diciptakanNya mempunyai kehendak dan keinginan. Namun, tidak semua yang kita inginkan akan tercapai, tidak setiap yang kita idamkan mampu menjadi realiti. Dan, bukan sesuatu yang mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi. Ramai orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum iaitu kita mesti berjaya, mesti bahagia atau yang lainnya.

Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa bahawa segalanya adalah pemberian Allah yang Maha Pemurah sehingga kejayaan itu membuatnya sombong dan bertindak mengikut nafsunya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, pasti akan Allah tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan mungkin kita miliki, walaupun ia mungkin telah menghampiri kita, walaupun kita telah bermati-matian mengusahakannya. Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah, malapetaka, dan sebagainya. Tetapi dia bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan dari Allah terhadap dirinya.

Oleh itu, bila seorang mukmin merasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati. Sebab, apa pun musibah yang menimpa seorang mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Sungguh menakjubkan! Urusan orang mukmin selalu menjadi hal yang menguntungkan bagi dirinya. Dan yang demikian itu hanyalah dialami oleh seorang mukmin.”

Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan, dan dia mengingat Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya. Seorang mukmin adalah selalu mengingati Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun dengan membaca Al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram.

Rasulullah SAW pun bersabda: “Ingat akan Allah adalah penawar kalbu,” diriwayatkan oleh Ad-Dailami oleh Anas.

Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah SWT; “ Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah 216)


Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam nestapa yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri. Andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!

Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cintaNya, keredhaanNya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.

Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah SWT, ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas! Kita menerima semuanya dengan senyum yang mengembang, dengan redha yang tidak terhitung. Hidupnya hanya untukNya. DIAlah tujuan hidup, sebaik-baik tujuan hidup! Sedang yang lainnya adalah wasilah, alat, bekal, modal untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Maka, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu! Kerana, ia memang bukan milikmu! Maka, bersihkan hatimu, ikhlaslah.. redha dengan ketentuanNya. Kerana, kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepadaNya.

Ameen Ya RABBal 'Alameen.


Thursday, December 10, 2009

Untukmu, Bakal Isteri


Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku."
Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tanggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.
Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.
Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita."
Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak untuk dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."
Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.

Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.” Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Thursday, September 24, 2009

~ Kullu 'Amun Wa antum Bikhaer.. ~

Bismillahir Rahmaanir Raahiim..

Alhamdulillah atas segala kurniaanNya.. Masih lagi diberi secebis kudrat dan usia.. Semoga dengan umur yang panjang ni, dapat lagi untuk kita sama-sama mengunakan nikmatNya sebaik yang mungkin dalam membina taqwa kepadaNya... (Ya, Rahman panjangkanlah usia kami dan tetapkan umur kami dalam mentaatiMu dan rasulMu.. Allahumma amein..)

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan dan peluang yang ada untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI.. Hehe, rasanya tak terlambat untuk saya ucapkan... sekalipun dah masuk syawal yang ke-lima.. ^_^. Raya kan sebulan.. (ye ke raya sebulan..??? kikikiki) Nway, semoga Ramadhan yang pergi, sentiasa dinanti dan dirindui.. Dan semoga syawal kali ini, adalah syawal yang terindah.. Mudah-mudahan ukhwah yang terputus terjalin semula.. yang jauh, hati tetap terasa bersama...sedikitpun tiada gelisah.. yang dekat bertambah erat dan mesra.. Aduhai, Indahnya Ukhwah kerana Allah... (^_^)


Akhir bicara, mohon kemaafan atas segala khilaf, terkasar bahasa dan laku samada yang sengaja mahupun tanpa disengajakan.. (Aku insan biasa..uhhuhu yang ingin menjadi luar biasa dari kebiasaan yang biasa.. ^_^. camne tuh? ^_^) . Halalkan makan minum ya... 0-0. ^_^

Thursday, September 17, 2009

PENANTIAN...

Terasa cemas di hati, tatkala menanti sendiri… hati diasak monolog sepi... “bila la bas ni nak mai, lama dah tunggu ni.. adoii” jenuh juga asyik melontar tanya, jawapan plak tak kunjung tiba..

“Ahh... mungkin bas lambat sampai, jammed kot. xpo la, Sobr3x.. Allah nak didik ni jadi penyabar. Kan ustazah pesan, semua apa yang berlaku tu ada hikmahnya. Mungkin Allah bagi bas lambat sampai untuk keselamatan diri. Manalah tahu, sekalipun bas awal sampai, tapi rosak di tengah jalan. Ha, sapa susah. Diri sendiri juga susah. Keluarga pun susah.. semua la susah..” cuba ku buang jauh resah yang mula bertamu. Alhamdulillah, Allahur Ar Rahman, Aku senyum sendiri. Memang menjadi kebiasaanku bercerita dengan diri sendiri.. (Dalam hatilah kan, kalo suara ’keluar’ plak kang, nt orang kata gila..uhuhuhu ^_^)

Dalam beberapa ketika, bas yang di nanti pun tiba.. Dari jauh, pemandu itu melihatku. Penglihatannya jauh di dasar hati, bukan pada penampilan luaranku tetapi pada peribadiku melalui seseorang yang ku kenali. Entah, apa yang difikirkan pemandu tu. Apapun yang difikirkannya, hanya satu yang ku harap.. Moga pemandu itulah yang akan menghantar aku ke destinasi. Sekalipun tidak sampai di tempat yang betul-betul menjadi tujuanku, asal dia berusaha untuk membawa ku lebih dekat pada destinasi matlamatku, itu sudah mencukupi.. Alhamdulillah...

Ku kerling pemandu bas.. Sekali pandang, hati ku dapat merasakan dia boleh dipercayai. Dari raut wajahnya, ada sakinah bertapak di situ sekalipun cahaya nurnya tak secerah yang ku harap..

“Adeih, apalah aku ni, tu pun nak demand. Astagfirullah.. ish3, tu dah kira oklah tu.. ada juga orang yang nak bawa ko p.”.. Cepat-cepat ku ingatkan diri..

Pemandu bas yang agak segak pada pandanganku tersenyum memandangku..Entah apa yang buat dia tersenyum. Ku intai penampilanku hari itu.. “Erm, okeh je baju ni.. Tutup aurat.. Comel lagi.. kikiki ^_^” Hatiku berbisik.

“Naiklah.. awak je ni yang saya nak amik. Kalo awak tak sudi nak naik, saya cari penumpang lain.”.. Tawaran terakhir diutara...

Bismillahil lazi soqqhorolana haza wama kunna lahu muqrinin. Wa inna ila rabbina lamunq qolibun”.. Kakiku mula melangkah masuk. “Em, nampaknya belum ada penumpang. Mungkin aku jer penumpangnya. Mudah-mudahan selamat dia memanduku ke destinasiku. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dan peliharalah kami dari segala kejahatan. Allahumma amein”.


Tiba-tiba, pedal brek separuh kecemasan ditekan. Bas pun berhenti.
“Awak, saya minta maaf, saya tak dapat nak antar awak.. saya rasa, saya tak sesuai nak bawa awak sama pi sana.. Sebenarnya, saya dah ada penumpang lain. Penumpang tu dah jadi penumpang saya selamanya sejak dua bulan yang lalu.” Bicara si pemandu.

Kedebomm!! Bagai bunyi barang berat jatuh ke bawah.. Terkejut dan segala ketenangan berterbangan.. Hilang harapan yang mula terkumpul.. Ku harap panas sampai ke malam.. rupanya tak sampai-sampai juga.. punah segala impianku. Seakan destinasiku semakin jauh dari tempatku.. (memanglah kan, malam mana ada matahari, kuikuikui^_^)

“Akhirnya, mulai hari itu.. bermulalah semula penantianku.. entahlah, bila lagi bas yang seterusnya akan tiba. Yang pasti, aku tetap akan sentiasa menanti dengan setia. Aku tidak berharap pada pemandu bas itu lagi, kerana bagiku cukuplah tibanya sebagai ujian bagiku.. (uhuhuhu, ajak orang nek, pastu suh turun balik.. Kalo dalam bab JPJ ni, ni masuk kes pemandu tak beretika.. Hehe, nak geram sikit kat pemandu tuh.. kikikiiki)... Papun, aku yakin bas yang akan datang ni lebih baik dari bas sebelumnya. Dan sebelum aku mengharapkan agar bas yang akan tiba adalah yang terbaik untukku.. aku kenalah berubah jadikan diriku lebih baik dari sebelum ni. Bukan bermaksud penampilan ku perlu diubah. Biarlah dianggap kuno oleh sesetengah pemandu bas, dianggap tiada gaya langsung dan dianggap kurang sempurna dipandangan mata.. Yang penting perubahan rohani ku perlu diupdate lagi. Iman perlu ditingkatkan.. Biarlah apa orang kata dan nilai, asalkan tuanku suka dengan apa yang ku cuba usahakan. Manalah tahu kalau suatu hari nanti tuanku ingin berjumpa denganku, ada jugalah yang ’baik’ sebagai ku persembahkan nanti. Aku harap semoga tuanku terima diriku dengan ‘senyuman keredhaan'. Ya, benarlah juga, Ramadhan bulan ujian.. Inilah antara ujian buatku... ujian hati. Mudah-mudahan apa yang terjadi, memberikan aku kekuatan untuk kuat dan tabah.. Mudah-mudahan perginya Ramadhan meniggalkan diriku yang lalu.. dan yang muncul diriku yang baru.. Aku akan berubah untuk jadi lebih baik.. Moga dengan Rahmat dan RahimNya, tuanku akan permudahkan niat ini..” Azamku menyuntik semangat yang semakin sirna.



Pengajaran yang dapat dihayati..

1- Jalan ceritanya sederhana. Tidak banyak sentuhan perasaan. Maksud saya, antara si pemandu bas dah si penumpang tidak lama bersama. Masih lagi boleh dikatakan tidak saling mengenali. Maka, sebagai penumpang.. tidak seharusnya dia terlalu yakin dengan apa yang dinilainya. Biasalah, zaman sekarang ni lebih banyak ’antu’ dari manusia.. hihihih.. kejam plak kenyataan ni..

2- Dalam cerita ni, seolah penumpang adalah seorang yang sentiasa berfikir. Berfikir, berfikir dan berfikir pada sesuatu yang diluar daya akalnya iaitu soal jodoh (bas) Oleh kerana sentiasa berfikir, jadilah si penumpang merasa dalam penantian... Seharusnya sebagai hamba kepada tuannya (Allah Al-khaliq), hendaklah bersikap tenang dengan menyerahkan sebulat-bulatnya pada Allah soal siapa jodohnya. Tidak perlu dirisaukan, kerana sudah janji Allah swt setiap yang bernyawa pasti akan ada bahagian rezeki, jodoh dan ajalnya. Maka segalanya serahkanlah pada Allah.. Yang pastinya, jadikan diri baik dan sempurna pada pandangan Allah. Bukankah Allah telah berjanji ; "Lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik, dan permpuan yang baik itu untuk lelaki yang baik". Maka.. usahakanlah ke arah itu..

3- Si pemandu sepatutnya perlulah memikirkan segala natijah yang bakal berlaku sebelum melakukan sebarang tindakan. Kebaikan dan keburukan hendaklah ditimbang tara mana yang lebih membawa kecenderungan. Wajarnya lelaki memiliki 9 akal dari wanita, maka seharusnya lebih matang dalam membuat sebarang tindakan. Perlu diingat, tindakan yang membawa kepada kemudharatan pada si penumpang (perempuan) bolehlah kita menglasifikasikan sebagai satu kezaliman. Dan ketahuilah 3 doa yang dikabulkan (tiada hijab) antaranya adalah doa orang-orang yang dizalimi. Apapun, bagi si penumpang, sekalipun terasa dizalimi, gunakanlah sifat penyayang yang dikurniakan Allah swt melebihi sifat penyayang si pemandu tadi dengan memaafkan segala tindakan yang dilakukan oleh si pemandu. Allah mengurniakan kepada hambanya 2 prasangka, Husnudzon (bersangka baik) dan Se’udzon (bersangka buruk), maka gunakanlah dahulu ’husnudzon’ yang Allah kurniakan kerana itulah sebaik-baik akhlak yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Mafhum hadist : "Allah bertindak mengikut apa yang hambanya fikirkan". Maka, bersangka baiklah dalam setiap apa yang berlaku sekalipun perkara itu menyakitkan dan menghimpit perasaan. Ini juga ada kaitan dengan kaifiat (cara) Allah mendidik hamba-hambaNYa. Adakalanya, Allah ingin mendidik hati dan menyucikan niat kita agar apa yang kita lakukan adalah semata-mata kerana Allah... Wallahu’alam

Cerita asal : Hamba Allah
Skrip : Hamba Allah
Edit : Hamba Allah..


Cerita di atas tiada kaitan pada sesiapa yang dikenali samaada yang masih hidup atau pun sebaliknya. Maka seandai ada yang terkene.. maafin dong.. ^_^ pepun, Pengajaran yang perlu dihayati dalam cerita ni, boleh kita sama-sama fikirkan..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...