Thursday, August 2, 2012

Poligami Dalam Islam


POLIGAMI DALAM ISLAM


Bahawa beberapa ulama, setelah meninjau ayat-ayat tentang poligami, mereka telah menetapkan bahawa menurut asalnya, Islam sebenamya ialah monogami. Terdapat ayat yang mengandungi ugutan serta peringatan agar tidak disalah gunakan poligami itu di tempat-tempat yang tidak wajar. Ini semua bertujuan supaya tidak terjadinya kezaliman. 


Tetapi, poligami diperbolehkan dengan syarat ia dilakukan pada masa-masa terdesak untuk mengatasi perkara yang tidak dapat diatasi dengan jalan lain. Atau dengan kata lain bahawa poligami itu diperbolehkan oleh Islam dan tidak dilarang kecuali jikalau dikhuatirkan bahawa kebaikannya akan dikalahkan oleh keburukannya.

Wednesday, August 1, 2012

~ Ilham Itu Milik Allah

"Allah mendugamu kerana Dia tahu engkau mampu.. Allah memberikan ribut taufan, menjengah sebuah kehidupan, kerana DIA ingin hadirkan sebuah pengharapan. "

"Berharaplah hanya kepada tuhan (Allah), jiwamu pasti tidak akan dikecewakan. Yakin lah dengan penuh tawakkal penuh kesabaran, hanyasanya kesusahan itu pasti akan berakhir dengan kenikmatan"


*****



♥ Benarlah betapa cinta Allah itu terlalu agung membahagiakan. Hatta cinta seorang suami kepada isteri, cinta seorang isteri kepada suami, cinta seorang ibu/bapa kepada anak-anaknya juga cinta seorang anak kepada kedua orang tuanya tidak akan dapat mengatasi cinta Allah kepada hamba-Nya... ♥

♥ Ingin diraih cinta Ilahi, namun mengerti siapa diri, rasa sukar untuk dikecapi cinta Rabbi♥

Tuhan.. hadiahkanlah kasihMu kepadaku..
Tuhan.. Kurniakanlah rinduku kepadaMu
Moga ku tahu syukurku adalah milikMu

Allah.. ku ingin 'pulang' (T_T)

*****

"Jangan putus asa walau betapa sukar pun laluan, Jangan lari dari masalah, walau ianya membawa seribu sengsara, Jangan merasa lemah walau ujian itu mengasak minda.."

"Sesungguhnya ujian itu sekadar jambatan sementara, akan hilang pergi han
ya dengan sabar sebagai ganti. Benarlah, kadangkala Allah hadirkan musibah agar engkau lebih mengerti, itulah cara dan didikan Ilahi."


"Justeru, saat engkau lapang isi lah dengan penuh erti, saat muda dan kuat engkau lalui lah dengan manfaat, saat nyawa masih ada engkau habisi lah dengan ibadah."


"Maka, gapailah impian ini, dalam kembara kehidupanmu dengan penuh azam dan nekad di hati. Semoga di hujung perjalanan itu nanti, kejayaan dan kemuliaan akan engkau miliki.. "

*****

"Apabila besar dewasa, ingatlah pesan ayah.. Bukan duit dan harta yang ingin ayah terima... Tapi anak yang dirindu itu yang ingin dimanja..."

"Hormatilah dan sayangilah ayah selagi nyawa dikandung badan. Usah dipersia kasih ayah dan pengorbanan, kelak apabila Allah menjemput kembali, tiada lagi yang akan ditemui.. yang ada hanya insan yang dirindui... "

"Peluang hanya sekali, Ayah hanya seorang diri.. Tiada dua atau tiga yang dapat mengganti, Maka hormatilah, sayangilah, kasihilah selagi mereka ada di sisi~

*****


"Usia senja namun tetap setia, menanti jodoh yang entah bila, yang muda sebahagian iman telah sempurna, bergelar suami isteri pada insan tercinta, membina bahagia mencapai redha, Sedang diri masih bertanya, di mana dirinya?"

"Benarlah, jodoh itu sungguh rahsia, hanya doa penghubung bicara, pada tuhan harapan dipersembah, moga si dia datang menjengah."



"Usah bimbang jika jodoh belum tiba, Janji Allah pasti akan ada, Sudah tertulis sewaktu lahirnya kita di dunia.  Jodoh, ajal, rezeki semua ditentukanNya"


"Saat ini siapkan diri tetapkan hati, Dalami ilmu tingkatkan iman dalam diri, Bisik dan pujuklah hati, Sesungguhnya 'dia' juga sedang memperbaiki diri."







Aina Amidin - AA

~ Indahnya Ukhwah Fillah

~ Indahnya ukhwah kerana Allah. Yang tua dihormati yang muda disayangi. Jika tersilap langkah, indah tuturnya menasihati. Nasihat diberi tiada sedikit pun rasa benci. Madahnya lembut mudah disambut. Tegurnya disenangi maka yang silap juga terasa senang diperbaiki. 

Demikianlah kata padanya amarah. Pada kalam tersulam megah. Saat itu, gahnya diri suburnya benci. Jika menasihati, kalamnya mengguris hati, jadilah yang tua terasa hati, yang muda menjauh diri.



Nilaian Allah, manusia itu hanya hamba. Akan mulia dengannya taqwa. Jika berlaku silap sengketa, Maaf itulah rahsia damainya.

Jadilah orang yang dicintai nabi. Dendam , benci tiada di hati. Yang ada hanya kasih. Yang nista di balas dengan mesra. Yang kesat di balas dengan jalan selamat – diam. Malah menjadi pertama menghulur maaf, walau bukan mulakan khilaf. Pesan nabi, kata “maaf “ awali lah diri, walau egonya letaknya tinggi, biarkan saja ia melintasi. Usah di agung ego di hati. Jangan di biar meracun diri.

****



~Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita didik diri kita agar menjadi orang yang pertama memulakan 'maaf' walau bukan kita yang pertama memulakan 'khilaf'... Sama-sama kita didik hati agar ikhlas menerima maaf. Moga tiada dendam, benci, amarah lagi yang tersisa di dalam hati. InsyaAllah~

Thursday, June 21, 2012

Tanah 10 ekar berhadapan Projek POIC untuk di jual


1)      Sebahagian tanah di tanam dengan kelapa sawit

2)      Lokasi tanah berhampiran dengan projek POIC (sila klik di sini)

3)      Berhampiran dengan perumahan PPR dan perumahan penduduk kampung

4)      4 Batu dari Bandar Lahad Datu

5)      Berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agaseh dengan jarak lebih kurang 2 batu.

6)      Berdekatan dengan Kilang Biodiesel (sila klik di sini)

7)      Kawasan yang membangun dengan deretan rumah dan sangat berpotensi untuk projek perumahan dan perindustrian pada masa akan datang.



Harga : RM 3 500 000.00 (boleh runding)

 -Siapa cepat dia dapat -




Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Rusdin Radin di talian 019-8004407 atau email aina.amidin@gmail.com / fatin_jamilah@yahoo.com

Thursday, December 22, 2011

~ Bersangka Baiklah kepada ALLAH ♥




Sesungguhnya Allah lah yang menciptakan cinta.. Dan Dialah juga yang menghamparkan bahagia.. Dia yang mengutuskan duga, dan Dialah juga yang mengirimkan hampa.. Namun hakikatnya itu semua adalah bukti kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya, dan juga tanda menguji keimanan diri manusia terhadapNya.


Bukannya Dia tidak tahu betapa sedihnya hatimu, sengsaranya jiwamu, apabila bahagia yang dipinta namun penderitaan yang tiba. Bukannya Dia ingin menzalimi hamba-hambaNya sedangkan kita semua diciptakan untuk mengabdikan kepadaNya. Namun yang sebenarnya, semua itu ditakdirkan sebegitu kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hati yang pernah di'ratah' dengan kesedihan, jiwa yang di'baham' dengan penderitaan, akan ada satu masa pasti akan mencari tempat pergantungan, dan disitulah seorang hamba yang benar-benar beriman akan kembali kepadaNya dalam kehidupan. Dia mengetahui hati dan jiwa sebegini akan lebih dekat dan akrab denganNya dengan merintih dan memohon kepadaNya.

Kekadang Allah takdirkan ujian dan dugaan untuk menyedarkan kembali jiwa-jiwa yang lalai dan hati yang terleka agar kembali semula kepadaNya. Adakalanya musibah itu terjadi untuk menyedarkan jiwa dan hati diatas perbuatan-perbuatan kita

Betapa hebatnya perancangan dan ketentuan Allah Ta'ala, tidak mengira tempat dan juga masa, setiap detik yang Dia ciptakan pasti ada rahmat dan hikmah yang terkandung disebaliknya. Namun hanya orang terbuka hatinya yang mampu mencari hikmat tersebut. Oleh itu, sucikanlah hati dan bersihkan jiwa, agar hati kita sentiasa terbuka dengan hidayahNya.

Usahlah berdukacita dengan kesusahan dan penderitaan, kerana disebaliknya ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi dalam kehidupan. Dan janganlah juga terlalu bergembira dengan kebahagiaan dan kesenangan, kerana tidak mustahil disebaliknya sedang menanti diakhirnya penderitaan dan kesengsaraan.

Ingatlah, satu saat di hadapan, tidak mampu kita tafsirkan apa yang bakal berlaku, kerana setiap sesuatu dalam hidup ini, bukanlah satu kepastian di masa depan sebagaimana dalam sangkaan kita. Wallahu'alam.

(",)v..Sesusah kesusahan pasti akan menyusul kesenangan..(",

Sunday, August 14, 2011

~ Nota Buat Pejuangku

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamu'alaikum wrt..


Subhanallah walhamdulillah.. Syukur dan Tahmid hanya untuk Allah Swt.. Puja dan Puji khusus untukNya.. Tuhan Sekalian 'Alam kerana dengan limpahan Rahmat dan Kasih SayangNya, ana masih lagi dapat menghirup udara segar di bumi Sabah di bawah naungan Allah ini..


Hari ini, aktiviti ana berbeza dari hari sebelumnya.. Jika sebelum hari-hari lalu, ana banyak habiskan masa ana di teratak warden aspuri, tapi pagi ini seawal 7.30pagi lagi ana dan seorang anak didik ana pergi ke kelas tarannum. Ini adalah hari pertama ana pergi menghadiri kelas tarannum. Asalnya ana ingin pergi pada hari ahad lalu, namun atas alasan tertentu ana terpaksa tangguh kehadiran ana..

Terasa lucu sedikit tikamana duduk di kerusi pelatih. Selalunya di masa kuliah, ana berada di hadapan memberi syarah. Kali ini, ana menjadi sebahagian di kalangan pelajar bersama-sama ana didik ana sendiri (pelatih). Duduk bersama-sama dengan pelatih, walaupun agak lucu dan sedikit janggal tapi itu bukan penghalang untuk ana belajar bersama mereka. Peluang ada di hadapan mata, insyaAllah akan ana gunakan sebaiknya.. Teringat pada satu kata-kata "Pengalaman itu adalah universiti kehidupan".

Justeru, selagi penghidupan itu masih dimiliki, maka selagi itulah seseorang itu masih dalam proses pembelajaran. Ana ingin mengutip setiap peluang yang ada ini untuk ana jadikan ianya pengalaman dalam kehidupan ana. Moga-moga dengan pengalaman & kemahiran yang ada daripada didikan yang terima ini akan dapat ana manfaatkan pada orang lain. Dan mana tahu satu hari ilmu tarannum ini sangat berguna untuk ana ajarkan pada anak-anak ana nanti.. Mudah-mudahan dengan adanya pengajian tarannum itu nanti, menjadi asbab mereka untuk lebih cintakan Al-Quran.. Seterusnya menjadi "jilul Quran" yang terdiri daripada Hafiz dan Hafizah. InsyaAllah.. Itu azam ana. (.^_^.)>

Alhamdulillah, sesi pembelajaran tarannum daripada Abuya sangat mengujakan ana. Sebelum ini, Abuya merupakan bekas tenaga pengajar di Pusat Latihan Dakwah namun atas permintaan ramai, kemahiran dan kefaqihan Abuya mengajar tarannum & qiraat sangat dialu-alukan. Syukur, abuya bersetuju untuk membuat kelas khas kepada sesiapa yang berminat. Ramai di kalangan pelatih yang berminat termasuklah ana.. Hehe..

Pagi itu, Abuya mengajar ana dan pelajar yang lain bacaan Al-Quran bertarannum dari surah Ibrahim ayat 28-31. Dimulakan dengan bacaan dari Abuya sendiri seterusnya diikuti oleh semua pelajar. Terasa lagu ana sumbang semacam.. Hehe, lama dah tak mengaji berlagu.. Alhamdulillah selama 2jam setengah sesi pembelajaran hari ini, banyak yang ana dapat pelajari dari Abuya.. Syukur Allah pilih ana untuk sama-sama mengimarahkan majlis ilmu ini.

Subhanallah, ana sangat kagum dengan bacaan Abuya.. Suara dan alunan lagu bacaan abuya bersatu dalam rentak yang mendamaikan.. Bunga-bunga qiraat sangat indah menyentuh halwa telinga ana. Tetiba terasa mata ana berair. Fikiran ana tertumpu pada satu wajah... Wajah yang dulunya selalu memberikan ana semangat. Seorang yang ana sajnjungi dan tidak jemu mencari rezeki untuk persekolahan kami. Itulah ayah ana.. Wajah itulah yang pernah mengejutkan kami adik-beradik seawal pagi. Di ruang tamu, ayah duduk bersila. Di hadapannya tersusun 3 bantal empuk bersama Al-Quran . Rupa-rupanya wajah itu ingin mengajar kami bertiga membaca Al-Quran bersama-sama alunan tarannumnya..

Pendekatan ayah dalam mendidik kami mengenal Al-Quran sangat tersirat. Setiap pagi, kami selalu dikejutkan dengan suara orang mengaji.. Merdu bila dihayati.. Sayup-sayup hinggap di cuping telinga kami.. Saat ini suara itu seakan ana dengarinya meniti di bibir Abuya sendiri. Lantunan tarannum Abuya persis lagu ayah waktu itu.. Ana kesat air mata. Sungguh ana rindukannya lagi.. :'(



NOTA HATI BUAT PEJUANGKU..

Nukilan ini telah lama ana nukilkan.. Waktu itu ana terasa rindu benar dengan ayah. Tambah-tambah lagi terasa sayu bilamana membaca SMS dari adik ana mengatakan ayah ana sedang sakit.. Mudah-mudahan Allah berkati umur dan permudahkan segala urusan ayah. Semoga ayahanda Radin Bin Hj Taggoh sentiasa dalam bimbingan dan kasih sayang Allah swt.


Rinduku bertamu mendongak sendu...
Kelamku dalam himpitan syahdu..
Jeritanku pada coretan namamu seakan mengoncang suasanaku..
Hanyasanaya diriku terlalu merindu,
Padamu wahai pejuangku..

Hari-hariku berlalu..
rintihan kasihku semakin meruntun nan kalbu.
Ingin sekali ku berdiri dihadapanmu..
Menatap raut wajahmu..
Mendakapmu erat melepas beban rindu..
mencium tanganmu memohon restu..
Aduhai pejuangku,
Rinduku tidak kan layu buatmu..

Pejuangku...
Walau diri terpisah jauh,
Namun sentiasa diriku berteman memorimu,
Setiap saat dan waktu,
Ingatanku padamu sentiasa menjengukku..
Sayu, tatkala terkenang kata-katamu..
Nasihat dan gurau sendamu
Menggantikan kelabuku menjadi biru,
Haru ku menjadi tenang selalu..

Aduhai pejuangku..
Hanya engkau dalam beribu..
Menjadi penghibur dan pengubat dukaku..
Di kala ku jatuh terkulai layu,
Engkau hulur tangan bangunkan ku..
Engkau tanamkan azimat hanyasanya Allah segalanya tempat mengadu..
Sungguh...
Kasihku berbungga mekar selamanya buatmu...

Untukmu ayahku..
Pejuang kehidupanku...
Segunung kasih buatmu dan sebening rindu untukmu
Berkat Rahmat Allah atas usaha gigihmu..
Diriku kini si kecil murabbi bergelar guru.
Mendidik umat ini agar kenal Tuhan yang Satu.
Kenal sirah junjungan Muhammad yang yatim piatu.
membina iman dan amal pada niat yang jitu.
Segalanya hanya kerana Rabbu..

Alhamdulillah, usai sudah coretan ana kali ini.. Doa ana, semoga ayah ana sentiasa tabah dan cekal dengan ujian yang mengujinya.. Begitu juga dengan ibu ana. InsyaAllah, jika diberi kesempatan.. coretan hati untuk ibu ana pula akan menyusul. Semoga dipermudahkan segala urusan~



Faqirah 'indaAllah
fatin_jamilah@yahoo.com
Pusat Latihan Dakwah Keningau.
14 Ramadhan 1432 H / 14 Ogos 2011

Saturday, August 13, 2011

~ 3 Golongan Yang Rugi

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Assalamu'alaikum wrt


Alhamdulillah 'ala kulli haalin, wastaghfirullah al-adzim 'ala kulli zanbin.. Bersyukur kita pada Allah SWT, hari ini kita masih lagi berada di fasa kedua di bulan Tarbiyah.. 13 Ramadhan 1432H. Ini bermakna, kita telah pun meninggalkan 12 hari Ramadhan.. Hanya tinggal 17 hari lagi kita berada di bulan yang mulia ini.. Pejam celik, tup-tup dah sampai penghujung Ramadhan. Justeru, sama-samalah kita pastikan agar Ramadhan yang berbaki ini dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.. InsyaAllah, semoga Allah SWT berikan kita kekuatan dan beri kemudahan untuk kita semua.

Alhamdulillah, di kesempatan ini ana ingin kongsikan satu hadist yang insyaAllah dapat kita jadikan iktibar untuk kita sama-sama muhasabah. Di sini, suka ana kongsikan bersama sahabat-sahabat yang disayangi Allah, di mana Rasulullah SAW bersabda :-

“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukan ke syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. HR. Ahmad



Daripada Qaul Rasulullah SAW di atas dapatlah kita simpulkan, terdapat 3 golongan manusia yang Rasulullah SAW kategorikan sebagai seorang yang rugi. Ruginya bukan di dunia sahaja, malah ruginya berterusan sehingga hari akhirat.. Ketika mana orang lain berlumba-lumba mengumpul 'dana pahala' di dunia, dirinya sambil lewa dengan kehidupan dunianya.. Maka terlepaslah peluang dan kesempatan yang Allah beri kepadanya.


Betapa tidaknya, peluang sudah ada di depan mata. Tetapi kerana ikutkan hati seronok dan teruja dengan nikmat kehidupan dunia, sekalipun nama junjungan Nabi Muhammad SAW didengarinya terasa berat lidah untuk menyebutnya.. Jika seseorang yang punya perniagaan, sudah pastilah orang sebegini sentiasa dalam kerugian. Perniagaannya tiada kemajuan malah mungkin boleh sampai kepada peringkat muflis dan berhutang. Peluang telah pun tersedia tetapi tidak mahu dijamah keuntungannya .


Begitu juga dengan seorang anak yang masih lagi mempunyai ibu dan ayah. Sungguh ibu dan ayah itu adalah aset untuk kita menambah pahala. Hatta dengan senyum kepada orang tua juga sudah diberi ganjaran pahala oleh Allah, apatah lagi jika mengikut segala perintahnya selagi mana tidak melanggar syariah. Pastilah ganjarannya lebih berlipat ganda. Dan inilah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan kedua yang rugi semasa hidupnya. Walaupun mempunya peluang untuk mendapat ganjaran pahala dengan berbakti kepada orang tua, tetapi orang tuanya dibiarkannya sia-sia. Dan ada yang sehingga sanggup meninggalkan mereka di rumah orang-orang tua.


Teringat dengan kata-kata Imam Muda Hassan sewaktu menonton rancangan Imam Muda beberapa bulan yang lalu.. Beliau mengingatkan pada semua anak-anak muda yang masih dikurniakan ibu ayah agar sentiasalah merasa syukur dengan kurniaan Allah SWT. Adanya ibu dan ayah bermakna Allah masih lagi memberi kita peluang untuk berbakti kepada mereka. Allah masih berikan kita kesempatan untuk menambah dan merebut ganjaran pahala dan kebaikan dengan menghormati dan menyayangi mereka. Hanya dengan redha keduanya, maka redha Allah juga akan kita perolehi. Dengan berbakti kepada mereka, Allah akan balas dengan ganjaran pahala yang berganda... Itu janjiNya.

"Ya Rahman.. jadikanlah diri ini permata ayah bonda. Jadikan diri ini penyejuk mata mereka.. Jadikan diri ini penghibur lara mereka.. Engkau kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sedari kecil hingga dewasa. Engkau redhailah mereka dan jadikan diri mereka redha padaku agar redhaMu jua sampai kepadaku"

Golongan yang ketiga daripada hadis di atas ialah golongan manusia yang apabila perginya Ramadhan, dosa-dosanya masih lagi tidak terampun. Asbab kerana hatinya masih lagi kurang persediaan dan kesediaan dalam menghadapi bulan Ramadhan. Dia hanya mengetahui bulan Ramadhan pada zahirnya sebagai bulan pengampunan tetapi sayang dia tidak dapat merasainya dengan hati yang penuh bersedia. Di mindanya hanya dapat memahami erti puasa dari segi istilah sahaja iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sedangkan tingkatan orang yang paling ahsan puasanya, bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah SWT semata-mata. Asbab hanya memahami hakikat Ramadhan dari kulit sahaja tidak pada isinya, maka jadilah dia seolah-olah perenang yang hanya berenang di tepian tetapi tidak sampai ke dasar lautan walaupun kelengkapan dan peralatan sudah disediakan.


Tingkatan puasa orang sebegini termasuk di dalam puasanya orang awam. Lantaran itu, ada di antaranya amal yang dilakukan juga ala-ala kadar sahaja. Hanya cukup dengan menahan diri dari makan & minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadahnya masih lagi seperti hari-hari sebelumnya.. Malah ada lagi yang lebih mengecewakan ibadahnya seiring dengan maksiatnya.. Alangkah ruginya golongan ini apabila peluang di depan mata sudah tersedia untuknya tetapi tidak mahu mengambilnya. baginya tidak ada bezanya Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Iyya'uzubillahi min zalik.


Tetapi apabila seseorang itu dapat menghayati hakikat Ramadhan yang sebenar, dia akan menggunakan dan mengambil sepenuhnya peluang dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan tersebut. Masa yang ada seakan begitu berharga. Tiap saatnya digunakan sebaiknya. Amalan wajib diperbaiki, amalan sunat digandakan lagi. Lidahnya sibuk dengan zikir kepada Ilahi.. Tangisnya di malam hari menemaninya setiap hari sehinggakan tiap waktunya adalah semata-mata memohon keredhaan dan keampunan Allah SWT.



"Ya Rahmanu Ya Rahim.. permudahkanlah langkah kami agar sentiasa ingin dekat denganMu. Berikanlah kami kekuatan dan kesihatan untuk sentiasa sujud kepadaMu.. Agar terdidik hati ini untuk sentiasa bersyukur dengan limpah RahmatMu. Jadikanlah jiwa ini sentiasa rindu dengan sentuhan kasih sayangMu. Jadikanlah lidah kami lembut dan tiada jemu menyebut namaMu malah rasa terhibur dengan membaca alunan kalamMu..

Ya Allahu Ya Kareem.. Istiqamahkanlah setiap apa yang telah kami persembahkan.. Engkau redhailah setiap apa kami lakukan.. Ampunilah segala dosa yang telah kami perbuatkan serta masukkanlah kami di kalangan mereka yang Engkau Rahmati dan Redhai.. Sungguh tiada daya kami melainkan Engkau yang Maha Pengampun jua Maha Pengasih.. "

InsyaAllah, sama-sama kita berdoa semoga usaha yang kecil dan amalan yang sedikit ini dapat mengubah diri. Biar kecil dan sedikit asalkan kita lakukan dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh. Berazam dan bertawakkallah kepada Allah SWT semoga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. Yakinlah, amalan yang disertai dengan kesungguhan semata-mata mengharapkan redhanya Allah SWT pastinya nanti akan sentiasa menjadi 'sahabat' kita. Setiap masa kita akan bersama-sama dengannya. Umpama seseorang yang sentiasa membaca Al-Quran sudah pastilah Al-Quran itu menjadi sahabatnya. Ada sahaja kesempatan dan masa terluang, Al-Quranlah yang dicapainya.. Hari-harinya sentiasa bersama Al-Quran..

Justeru, ana menyeru khususnya pada diri ana sendiri dan juga sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, sama-samalah kita gunakan peluang dan kesempatan ini dengan melipat gandakan lagi amal ibadah kita. Perbanyakkan dzikir setiap masa dan muhasabah diri sentiasa.. Tatkala larutnya diri dalam sendunya dzikir pada yang Esa, renungilah diri kita.. Tiada yang lebih sempurna melainkan zat yang Maha Sempurna. Dan tikamana bersatunya diri dalam dzikirullah, pasti... akan ada titisan jernih menyentuh pipi meraih beningnya hati.. Air mata itulah nantinya akan menjadi saksi.. Moga ianya juga yang akan membela mu di sana nanti. Negeri yang kekal abadi. wallahu 'alam~

"Ya Allah, ku rindukan hati yang selalu merinduiMU :'( "




Faqirah 'indallah
fatin_jamilah@yahoo.com
Pusat Latihan Dakwah Keningau
13 Ramadhan 1432H / 13 Ogos 2011

Tuesday, August 9, 2011

~ Rindu dan Sayang...


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Assalamu'alaikumwrt wbt (◕‿◕✿)



Subhanallah wal hamdulillah... Syukur pada Allah SWT yang memberi nikmat. Hari ini sudah 9 hari kita berpuasa. Bagi yang dah 'berhari raya' selamat beramal ana ucapkan... Sekalipun Allah memberi cuti, tapi Allah tetap Maha Adil. InsyaALLAH pasti ada amalan lain lagi yang dapat dilakukan.. Jangan biarkan diri tanpa pengabdian kepada Allah SWT.

Untuk hari ini, ana ingin kongsikan apa yang ana baca tadi... Puisi kreatif dari web iluvislam. Berkali-kali ana baca, dan.... sedikit sebanyak sesuai dengan jiwa ana kala ini.... ^^,). Apapun, mudah-mudahan mujahadah ini istiqamah dan sentiasa dipermudahkan Allah.. Sungguh penantian itu suatu yang menyeksakan jiwa.. Namun, tatkala penantian itu disandarkan atas Taqwa demi menghindarkan sesuatu yang bukan halal pada waktunya. ana akui... terlalu banyak kebaikan dan hikmah yang tersirat. Benarlah, mujahadah ini memelihara diri kita daripada terus berada di dalam kemurkaanNya..


Terpana Jiwa..
Terkedu seketika..
Bukan kerana terpaku dengan apa yang ada
Bukan kerana alpa pada yang di hadapan mata
Namun kelu lidah berbicara
Kalam terakhirmu penutup tingkah.

Kerana itulah yang terbaik sebagai pemelihara
Demi meraih redha pada jalinan yang ada
Mungkin sukar dirungkai perasaan di jiwa
Namun percayalah...
Sekali pun pahit jiwa merasa
Namun hikmahnya terasa tenang bahagia
Mungkin kecil pada pandangan insan biasa
Tetapi tidak buat dirimu jua diriku yang merasa..

Usah dirimu menilai tanpa mengenali
Usah jua dirimu mengagak tanpa merasai
Jangan kau berhenti tanpa mencari
Jangan kau menjauh tanpa membuka hati
Jangan kau menyangka perkara yang belum terjadi

Bukan aku mementingkan hati
Jauh sekali berkecil hati
Cuma satu yang ku pinta dari diri
Izinkan aku mengenali
Izinkan aku untuk merapati
Izinkan aku untuk menyayangi...
Mengintai dirimu di kamar hati..

Perasaan itu bukanlah ku pinta mahupun paksa
Kerana ia anugerah dari yang Esa
Buat kau dan aku, untuk melihat dan menguji hamba-Nya
Ke mana dan bagaimana menggunakannya..

Ikhlaskan hati, tenangkan jiwamu
Nescaya Syurga-Nya setia menantimu
Dari segenap kehidupan yang lalu
Jadikan pengajaran untuk dirimu

Bisikkan dihati
Setiap kesusahan pasti kesenangan mengiringi
Itulah Janji Ilahi..
Tiada ragu segalanya pasti...


Saat dirimu berduka
Usah kau sangka itu adalah penghujung dunia
Yakinlah dengan Allah yang Esa
Sesungguhnya Allah itu tidaklah buta

Pesankan diriku...
sesungguhnya Allah sentiasa menyayangimu
Walau seberat mana ujian yang dibekal padamu
Tidak pernah sedetik pun dari masa lalu
Allah meninggalkan dirimu sendiri berlagu sendu
Kerana itu tandanya Allah merasa rindu
Merindui dan mencintaimu setiap waktu..


Edit : fatin_jamilah@yahoo.com


"Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan setiap langkah mujahadah ini sentiasa dalam redhaMu. Didiklah hati ini dan Engkau ingatkanlah hati ini agar sentiasa sabar dan tabah dalam menanti nikmatMU... Teguhkan iman ini agar sentiasa terus dalam landasanMu. Semoga akhir destinasi penantian ini berada dalam KeredhaanMu "

Sunday, August 7, 2011

~ Haidh Dan Puasa


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Assalamu'alaikumwrt wbt (◕‿◕✿)

Alhamdulillah 'ala kulli hal... Allah masih berikan nikmat sihat.. dan masa yang lapang. Apa yang pasti, syukur dan tahmid atas nikmat Iman dan Islam yang Allah berikan kepada kita. Alhamdulillah....
Bersempena dengan bulan mulia ini, pastinya ada di kalangan kaum muslimah yang musykil tentang beberapa perkara. Khususnya yang berkaitan dengan hal-hal berkaitan masalah wanita. Justeru, InsyaAllah, di kesempatan ini, ana ingin kongsikan satu tajuk dari fasal ke-9 dari buku "Feqh Wanita Moden" sebuah karya penyuci jiwa penyempurna ibadah. Buku soal jawab ini telah dikarang oleh Ustaz Mohd Khairi Bin Zainuddin dan saudaranya Ustaz Mohd Nazri Bin Zainuddin bersama usrah thaqafi yang lain terdiri daripada Ustaz Abdul Hadi bin Mohd Isa dan Ustaz Mohd Fuad Bin Mohd. Isa..
Semoga perkongsian dari buku ini dapat memberi manfaat kepada seluruh kaum muslimah, insyaAllah.. Selamat menelaah.. ^^,)

FASAL 9 : HAID & PUASA

✿ Apakah hukum perempuan haidh berpuasa?

Haram kepada kaum perempuan yang berhaid berpuasa sama ada puasa fardhu atau pun sunat dan puasanya tidak sah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :-

"Bukankah ketika dia kedatangan haidh, dia tidak sembahyang dan berpuasa"
-Riwayat Bukhari dan Muslim


Ijma' Ulama menetapkan bahawa haram kepada perempuan yang berhaidh berpuasa sepanjang tempoh haidhnya.

✿ Bolehkah perempuan yang haid menahan lapar dengan tujuan berpuasa?
Perempuan yang haidh yang menahan lapar dengan tujuan berpuasa adalah berdosa, tetapi tidak makan bukan tujuan berpuasa adalah tidak mengapa. Ini adalah pendapat al-Auza'ie, Malik, al-Thauri dan Abu Thaur.


✿ Adakah perempuan wajib mengqada'kan puasanya?

Ya, dia wajib mengqada'kan puasanya berdasarkan hadis Aisyah r.anha yang menyebutkan :-
"فنؤمر بقضاء ولا نؤمر بقضاء الصلاة"
Yang bermaksud : - Maka kami disuruh supaya menggada'kan puasa tetapi tidak disuruh mengqada' solat.

✿ Apakah hikmah puasa wajib diqada'kan sedangkan solat tidak wajib diqada'kan?

Ibn. al-Qayyim r.a menerangkan hikmah kewajipan mengqada'kan puasa terhadap perempuan yang haidh dan tidak diwajibkan pula mengqada'kan puasa. Beliau berkata :-
"Kewajiban berpuasa ke atas perempuan berhaidh tanpa mewajibkan solat (qadha') menunjukkan keindahan syariat Islam yang penuh hikmah yang mengutamakan kemaslahatan umat manusia yang mukallaf."
Beliau mengatakan lagi, " Solat yang dilakukan pada hari-hari suci memadai untuk menampung semua solat yang ditinggalkan semasa hari-hari haidh. Oleh itu kemaslahatan solat pada hari-hari suci terhasil untuknya kerana dilakukan berulang-ulang pada setiap hari .
Ini berlaikan dengan puasa yang tidak dilakukan berulang-ulang setiap hari, ia hanya dilakukan pada satu bulan sahaja di dalam setahun. Jika digugurkan kewajipan puasa dengan sebab haidh maka tidak ada cara lain untuk mendapatkan ibadat yang sebanding dengannya, dan hilanglah kemaslahatan puasa yang merupakan kesempurnaan rahmat Allah yang dapat diperolehi"
Begitu juga jika diwajibkan mengqada'kan solat yang banyak tertinggal akan mendatangkan kesusahan kerana haidh akan datang pada setiap bulan, berlainan dengan puasa hanya diwajibkan sebulan di dalam tempoh setahun. Semua ini adalah kemudahan yang Allah S.W.T kurniakan kepada hamba-hambaNya.


✿
Bagaimanakah jika haidh datang ketika sedang berpuasa?
Perempuan yang datang haidh ketika sedang berpuasa maka batal puasanya walaupun ketika waktu hampir tenggelamnya matahari. Puasanya batal jika darah yang keluar telah sampai pada zahir kemaluannya. Jika ia hanya merasakan peralihan kedatangan haidh di saat hampir tenggelam matahari dan darah itu hanya keluar setelah matahari tenggelam, maka puasanya sah. Hal ini kerana darah yang masih terdapat di bahagian dalam rongga tidak ada hukum baginya.
Berdasarkan peristiwa nabi S.A.W ditanya mengenai perempuan yang bermimpi, adakah ia wajib mandi, lalu baginda menjawab yang dia wajib mandi sekiranya dia melihat adanya air.
Baginda S.A.W mengaitkan hukum wajib mandi dengan melihat adanya air mani bukan dengan peralihan air mani itu dari dalam dirinya. Begitulah juga halnya dengan haidh. Maka hukumnya tidak sabit kecuali setelah melihat ianya betul-betul keluar bukan semata-mata dengan peralihan dari dalam.


✿ Bolehkah berpuasa jika haidhnya berhenti selepasa terbit fajar?
Ketika terbit fajar perempuan masih berhaidh maka puasanya pada hari tiu tidak sah. Begitu juga jika haidhnya tamat sebaik sahaja terbit fajar kerana ketika waktu itu dia tidak diperintahkan untuk berpuasa.
Hal ini berdasarkan hadis Aisyah r.a:
"كان النبي صلى الله عليه وسلام يصبح جنبا من جماع غير احتلا ثم يصوم في رمضان"
Yang bermaksud : " Adalah Nabi S.A.W berpagi-pagi dalam keadaan berjunub kerana melakukan persetubuhan bukannya kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada bulan Ramadhan. " - Riwayat al-Bukhari & Muslim


✿ Adakah perempuan haidh yang meninggalkan puasa mendapat pahala?
Perempuan haidh yang meninggalkan puasa diberikan ganjaran pahala kerana menjunjung perintah Allah S.W.T agar tida berpuasa semasa haidnya.



✿ Adakah haidh memutuskan urutan puasa kifarat atau nazar?

Haid tidak menyebabkan terputusnya urutan hari berpuasa bagi puasa kifarat dan nazar. Oleh itu, jika seorang perempuan bernazar untuk berpuasa dua bulan berturut-turut atau ia wajib membayar kifarat dengan berpuasa secara berturut-turut, kemudian di pertengahn puasanya ia didatangi haidh, maka dia hanya perlu menyambung baki puasa yang tinggal setelah suci daripada haidnya dan ia tidak wajib memulakan semula puasa yang baru.


✿ Seorang perempuan telah berhenti haidh pada hari ke 7, lalu menunaikan puasa Ramadhan. Setelah berlalu 3 hari suci, pada hari yang ke 10 terdapat tanda-tanda darah haidh berwarna perang. Adakah puasa itu sah atau perlu mengqada'kannya?

Menurut mazhab as-Syafi'e, tempoh haidh yang paling kurang bagi sesetengah wanita ialah sehari semalam, tempoh kebiasaan ialah tujuh hari tujuh malam dan yang paling lama ialah lima belas sehari semalam.
Dalam masalah ini, jika tempoh tanda-tanda datang haidh selepas itu berlalu dalam hari yang jika dicampurkan dengan tujuh hari pertama haidh masih belum cukup tempoh haidh yang paling panjang (15 hari), maka hukumnya tanda-tanda keadaan yang kedua itu dikira sebagai haidh juga.
Ini bermakna puasa yang dilakukan tidak sah kerana tempoh itu bukanlah tempoh suci dalam ertikata yang sebenarnya dan dia dikehendaki menggantikannya pada hari-hari lain.


✿ Adakah perempuan haidh yang meninggalkan puasa dikenakan fidyah?
Perempuan yang meninggalkan puasa kerana haidh atau nifas tidak dikenakan sebarang fidhyah. Dia hanya diwajibkan mengaqda'kan puasanya yang tertinggal sahaja. Adapun pandangan ulama' mengenai fidyah yang dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa adalah seperti berikut:-
1- Para Ulama' bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak berdaya langsung mengerjakan puasa adalah wajib membayar fidyah. Seperti orang tua yang lemah dan sudah tidak mampu lagi untuk berpuasa. Ibnu Abbas menjelaskan bahwa perkara ini adalah satu keringanan daripada Allah S.W.T
2- Para Ulama' juga bersepakat mengatakan bahawa orang yang tidak mampu berpuasa kerana menderita dengan sakit yang ada harapan untuk sembuh juga wajib membayar fidyah.
Hal ini berdasarkan firman Allah Ta'ala yang bermaksud :-
" Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. "
3- Bagi perempuan yang hamil atau menyusukan anak yang bimbangkan keselamatan anaknya, dia dibenarkan berbuka. Menurut jumhur ulama' dia diwajibkan mengqada'kan puasanya serta membayar fidyah untuk setiap puasa yang ditinggalkannya..Ulama' Hanafi berpendapat sebaliknya, di mana perempuan di atas tidak pelu fidyah.
Jika perempuan yang hamil khuatirkan keselamatan diri sendiri, dia hanya diwajibkan qadha' sahaja tanpa fidyah. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama'.


✿ Apakah dalil, hukum dan bayaran fidyah?
Dalil fidyah ialah firman Allah Ta'ala :-
" Dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dsbnya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." - Quran surah Al-Baqarah:184
Hukum fidyah adalah wajib berdasarkan firman Allah di atas. Adapun jumlah yang wajib dibayar menurut jumhur ulama' adalah sebanyak satu cupak makanan asasi di negeri tempatnya tinggal bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.


✿ Adakah perempuan yang lewat mengqadha'kan puasa sehingga Ramadhan berikutnya dikenakan fidyah?
Jumhur ulama' menyatakan bahawa perempuan yang lewat mengqada'kan puasa Ramadhan sehingga datang Ramadhan berikutnya wajib membayar fiddyah. Akan tetapi jika kelewatan mengqada'kan puasa itu kerana uzur atau sakit maka tidak diwajibkan membayar fidyah.
Menurut Imam Hanafi pula, mereka tidak dikenakan sebarang fidyah kerana memadai dengan mengqadha'kan puasa sahaja.


✿ Adakah fidyah akan bertambah dengan pertambahan tahun?
Menurut pendapat mazhab terkuat di dalam mazhab Syafi'e bahawa bayaran fidyah akan bertambah dengan pertambahan tahun. Hujah mereka ialah kewajipan yang berbentuk harta tida boleh dihimpunkan sekaligus.
Manakala mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat tidak berganda dengan pertambahan tahun. Mereka menyamakannya dengan hukuman hudud yang dikenakan sekaligus.

Alhamdulillah usai dah.. semoga apa yang dikongsikan ini sedikit sebanyak dapat merungkaikan kekeliruan dan permasalahan sahabat-sahabat muslimah di luar sana. Walaupun mungkin ada di antara perkongsian dari soal jawab di atas sepertinya perkara yang mudah dan selalu diketengahkan oleh sesetengah dari kita, namun ana yakin ada juga di antara kita yang masih mencari jawapan bagi persoalan mereka...

Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat dimanfaatkan bersama. InsyaAllah.. Akhirulkalam selamat beramal dari ana.. salam perjuangan dan salam Ramadhan yang mulia. Fi hifzillah (^_^)v




Faqirah 'indallah
Pusat Latihan Dakwah Keningau
07 Ogos 2011 / 07 Ramadhan 1432 H





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...