Thursday, December 4, 2008

~ KORBAN


KORBAN adalah ibadat yang amat besar pahalanya dan dituntut umat Islam melaksanakannya. Ibadat itu mempunyai hikmah tertentu yang hukumnya adalah sunat muakkad khususnya bagi mereka yang berkemampuan. Korban bererti menyembelih binatang ternakan membabitkan kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta yang cukup umur pada Aidiladha dan tiga hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Rasulullah SAW memberi penekanan supaya umatnya yang berkemampuan melakukan korban. Hadis diriwayatkan Ahmad Ibnu Majah: Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan ibadat korban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.

Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai kemampuan hendaklah melaksanakan korban pada Isnin depan dan seterusnya tiga hari Tasyrik iaitu Selasa, Rabu dan Khamis. Sebenarnya, ibadat itu akan mendekatkan diri kepada Allah dan sebaik ujian keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Korban menghindar manusia perasaan tamak, bakhil, kedekut dan takbur dengan kekayaan sekali gus menanamkan kesedaran harta dimiliki kepunyaan Allah.

Ibadat korban juga mendidik umat Islam kerjasama dan muafakat khususnya ketika melakukan kerja penyembelihan dan melapah serta penyediaan makanan kepada petugas dan pengunjung. Kesannya, dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa tolong-menolong, berkasih sayang dan harmoni. Korban begitu mudah disebut, tetapi sedikit saja jumlah yang dapat melaksanakannya. Semua umat Islam mengetahui fadhilat korban, tetapi apabila tiba masanya ramai yang tidak melakukannya. Pelbagai alasan diberikan, antaranya; “Maaflah, bajet tidak cukup; Nak guna duit; Baru baiki kereta; Perlu beli buku sekolah, nak beli pakaian sekolah; Tahun depanlah aku buat dan pelbagai alasan lain”

Sebenarnya, korban sebagai latihan masyarakat Islam untuk menyumbangkan sedikit daripada harta benda yang anggarannya antara RM300 dan RM400 sebahagian daripada tujuh bahagian untuk lembu atau kerbau, daripada pendapatan sepanjang tahun untuk dikorban ke jalan Allah. Alasan seperti dinyatakan itu tidak berasas sama sekali kerana umat Islam boleh merancang melakukan ibadat itu demi ketakwaan kepada Allah atau menganggapnya sebagai tuntutan agama sama ada menyimpan sebahagian pendapatan secara bulanan atau potongan bulanan kepada penganjur.

Semua boleh dilakukan, yang utama niat seseorang umat Islam kerana RM300 dan RM400 adalah jumlah yang begitu kecil sedangkan ibadat itu menjadi saham yang Allah tawarkan umat Islam untuk direbut selama empat hari bagi tempoh setahun .

Bayangkan, umat Islam sanggup berebut-rebut apabila ditawarkan saham awam, saham amanah atau sebagainya berbanding saham Allah ini. Korban adalah amalan yang amat disukai Allah pada hari akhirat nanti. Sebagaimana diriwayatkan Ibnu Majah dan Tarmizi: Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud; “Tidak ada amalan anak Adam pada Hari Raya Korban yang sangat disukai Allah selain daripada amalan menumpahkan darah (menyembelih korban) kerana akan dibawa pada hari kiamat akan tanduknya, kuku dan bulunya dan sesungguhnya darah itu sampai kepada Allah dengan suatu tempat (timbangan) sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh itu, korbankanlah korban kamu”.

Sejarah korban bermula pada zaman Nabi Allah Adam a.s dengan dua anaknya Habil dan Qabil melakukan ibadat korban bertujuan mendekatkan dengan Allah. Oleh kerana Habil melakukan ibadat korban dengan tulus ikhlas berdasarkan iman dan takwa, maka korban Habil diterima Allah. Firman Allah Surah al-Maidah ayat 27 bermaksud; “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah dua anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku ketika mereka mempersembahkan korban. Lalu diterima korban seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban lain (Qabil), berkatalah Qabil: sesungguhnya aku akan membunuhmu!” jawab Habil: “Hanya, Allah menerima (korban) daripada orang bertakwa”.

Selain itu, ibadat korban juga mengingatkan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail. Kedua-duanya melakukan pengorbanan yang amat berat dilaksanakan iaitu perintah Allah ke atas Nabi Allah Ibrahim melakukan korban dengan menyembelih anaknya yang dikasihi dan disayangi, Nabi Allah Ismail. Begitu juga, bonda Nabi Ismail, Siti Hajar yang dengan rela hati menerima perintah Allah, walaupun yang dikorbankan itu anaknya. Mereka melakukannya atas dasar takwa dan mematuhi perintah.

Semua peristiwa itu dirakamkan Allah dalam al-Quran Surah as-Safat ayat 100 hingga 110 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang soleh.. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya." Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar."

Selepas kedua-duanya berserah (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim a.s merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau sudah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”


~ copy & paste from berita harian 2 December 2008 / 04 Dzulhijjah 1429
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...